Perniagaan penerbangan AirAsia tidak digabungkan: Tony Fernandes
PENERBANGAN penerbangan AirAsia tidak akan digabungkan agar menjadi satu entiti baharu, sebaliknya semua operasi penerbangan akan diletakkan di bawah satu struktur sedia ada, kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.
Ini akan menjadikan empat syarikat penerbangan milik Capital A iaitu AirAsia Malaysia, AirAsia Thailand, AirAsia Philippines dan AirAsia Indonesia serta dua syarikat penerbangan AirAsia X Bhd (AAX Malaysia dan AAX Thailand) akan beroperasi secara berasingan di bawah AirAsia Aviation Group (AAG).
Kami hanya menyuntik syarikat penerbangan AirAsia ke dalam status penyenaraian AAX... tiada penggabungan. AAX akan dinamakan semula sebagai AAG dan akan ada enam syarikat penerbangan di bawahnya.
"Sebagai satu syarikat, kami boleh mengurangkan banyak kos tetapi akan ada operasi berasingan oleh setiap syarikat penerbangan individu," katanya kepada media selepas melancarkan pakej langganan AirAsia SUPER Plus (SUPER+) di sini, pada Isnin.
Memberi contoh, Fernandes berkata, operasi berasingan baharu ini akan menjadi struktur yang sama seperti International Airlines Group (IAG), yang memiliki British Airways, Iberia Airline dan Aer Lingus.
Beliau menjelaskan selepas semua syarikat penerbangan diletakkan di bawah satu entiti, masing-masing akan mengekalkan operasi perkhidmatan penerbangan jarak dekat serta sederhana masing-masing dengan jumlah 225 pesawat, terdiri daripada model Airbus A320 dan A321.
"Melangkah ke hadapan, (kami lihat) A321 akan menjadi pesawat utama bagi kedua-dua syarikat penerbangan. Kami mahu berkembang semula, kini kami mempunyai tempahan dalam tangan merangkumi 326 pesawat A321," katanya.
Sementara itu, semasa pelancaran langganan SUPER+, Fernandes berkata syarikat penerbangan itu berharap dapat membuka semua rangkaiannya menjelang suku kedua tahun depan, sementara menunggu pembukaan semula beberapa destinasi lain yang kini masih di bawah langkah sekatan Covid-19.
"Kami tidak dapat mengawal bila (China) akan dibuka tetapi kami berharap ia akan berlaku pada tahun hadapan. Satu-satunya (rangkaian) yang tidak dibuka sehingga sekarang adalah Macau dan China, selebihnya semua sudah terbuka," katanya.
Langganan SUPER+ disediakan bagi pembelian di seluruh dunia dengan tempat duduk percuma tanpa had ke lebih 130 destinasi termasuk diskaun tanpa had untuk hotel dan airasia ride. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!