Peniaga mengaku tidak bersalah 22 tuduhan menipu

Seorang peniaga dihadapkan di dua Mahkamah Majistret di sini pada Isnin terhadap 22 tuduhan penipuan penawaran lot tanah dan tender kenderaan jabatan serta pinjaman wang yang melibatkan kerugian RM211,800, sejak Februari tahun lepas. - Gambar hiasan
Seorang peniaga dihadapkan di dua Mahkamah Majistret di sini pada Isnin terhadap 22 tuduhan penipuan penawaran lot tanah dan tender kenderaan jabatan serta pinjaman wang yang melibatkan kerugian RM211,800, sejak Februari tahun lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang peniaga dihadapkan di dua Mahkamah Majistret di sini pada Isnin terhadap 22 tuduhan penipuan penawaran lot tanah dan tender kenderaan jabatan serta pinjaman wang yang melibatkan kerugian RM211,800, sejak Februari tahun lepas.

Abdul Kadir Salleh, 64, yang beralamat di Panching Selatan di sini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut.

Di hadapan Majistret Fatinah Abu Bakar, tertuduh didakwa terhadap 13 pertuduhan menipu tiga lelaki di beberapa lokasi sekitar Jaya Gading di sini, antara 8 Februari 2021 hingga 30 Disember 2021, yang menyebabkan mangsa menyerahkan wang tunai antara RM3,000 hingga RM15,000 kepadanya.

Wang itu kononnya bagi mendapatkan tawaran lot tanah Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Chengal Lempong, lot tanah di tepi Jalan Pintasan Kuantan di Kampung Pandan, lot tanah di Sungai Lembing, bayaran proses kenderaan lelong jabatan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang serta untuk pinjaman wang yang menggunakan nama seorang kerabat diraja Pahang.

Abdul Kadir didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan RM76,000 yang ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Anuarul Hakim Abdul Muen bagi semua pertuduhan dikurangkan dengan alasan perniagaannya ‘tidak bagus kebelakangan ini’.

"Anggaran pendapatan saya sekarang sekitar RM4,000 sebulan. Saya menanggung ibu berusia 80 tahun, isteri dan enam anak. Seorang anak di universiti dan semua belanjanya ditanggung sendiri," katanya yang turut memaklumkan dirinya menghidap penyakit darah tinggi.

Fatinah membenarkan Abdul Kadir dibebaskan dengan jaminan RM26,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi tertuduh melantik peguam.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat, Abdul Kadir didakwa atas sembilan pertuduhan menipu empat mangsa antara 14 Mei 2021 hingga 1 Jun lepas bagi tujuan sama sehingga mereka menyerahkan wang tunai antara RM500 hingga RM5,000 kepadanya.

Raja Norshuzianna Shakila membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM26,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan sebutan semula kes pada 6 Januari depan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!