Cabutan khas judi dikurangkan kepada lapan kali setahun

Anwar pada sidang media di Perdana Putra pada Isnin. - Foto Bernama
Anwar pada sidang media di Perdana Putra pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kekerapan cabutan khas perjudian kembali diturunkan kepada lapan kali setahun mulai Januari tahun hadapan.

Ia selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan cabutan khas perjudian itu dikurangkan berbanding 22 kali pada era pemerintahan kerajaan terdahulu.

"Hari ini saya mengarahkan supaya cabutan itu dikekalkan pada tahap lama iaitu lapan kali," katanya menerusi sidang akhbar pasca mesyuarat kabinet pertama di sini, pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Pada 20 September tahun lalu, Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan kerajaan memberi kebenaran untuk meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan menjadi 22 kali sepanjang tahun 2021.

Sebelum itu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menurunkan kekerapan cabutan khas oleh syarikat perjudian menjadi 11 kali pada 2019 sebelum dikurangkan lagi kepada lapan kali pada 2020.

Bagaimanapun ia kembali menjadi 22 kali selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk pada akhir Februari tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!