Tok Mat fokus laksana Kertas Putih Pertahanan
KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan akan memastikan Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang diluluskan Parlimen dapat dijayakan secepat mungkin.
Mohamad berkata, pelan strategik dengan tujuh teras untuk kementerian itu dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini sudah dan sedang dalam proses pelaksanaan.
"Saya nampak ia dilakukan dengan terbaik dan akan menjadi sebagai teras kepada pelan pembangunan ATM," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Pertahanan di sini pada Isnin.
Mohamad berkata, komitmen dan usaha untuk melaksanakan Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) akan diteruskan.
"DIPKN merupakan satu kerangka dasar yang bakal memacu hala tuju dan asas kepada pembangunan industri pertahanan dan keselamatan Negara sehingga 2030, sebagaimana yang telah digariskan di dalam KPP," katanya.
Beliau berkata, kolaborasi pembangunan dasar ini adalah antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri dan beberapa agensi yang berkaitan dengan hal ehwal keselamatan.
"Saya komited untuk memastikan dasar ini dapat direalisasikan dan diletakkan di landasan yang tepat bagi memastikan objektif-objektif yang telah ditetapkan dapat dicapai dengan cemerlang.
Mohamad berkata, beliau juga akan menjaga dan melakukan penambahbaikan berterusan terhadap kebajikan para tentera dan veteran tentera.
"Suara setiap anggota dan veteran tentera adalah penting dan akan didengari melalui siri sesi libat urus dengan para pemegang taruh," katanya.
Mohamad berkata, misi untuk memastikan pengurusan pertahanan negara sentiasa cekap, siap siaga dan dinamik merupakan satu tanggungjawab besar.
"Dalam memastikan keselamatan pertahanan dan kedaulatan negara sentiasa terjamin, pemerkasaan aset-aset ketenteraan menjadi fokus utama agar sentiasa berada dalam kesiapsiagaan dan kualiti tertinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!