STAR hasrat keluar PN
KOTA KINABALU - Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pada Isnin menyatakan hasrat untuk keluar daripada Perikatan Nasional (PN) namun pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat kemudian, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.
Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, tindakan itu dibuat kerana melihat STAR, yang menyokong Kerajaan Perpaduan masa ini, sudah tidak sehaluan dengan PN.
"Ya (keluar PN), kita tunggu pengumuman, sebab kalau kau (awak) pergi sini saya pergi sana bererti tidak sehaluanlah itu,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Terdahulu beliau merasmikan Majlis Konvokesyen Institut Pertanian Sabah (IPS), Timbang Menggaris ke-50 dan Pusat Latihan Vokasional Pertanian (AVTC) Lahad Datu kali ke-37.
Pada 26 November lepas, Kitingan berkata, STAR mengambil pendirian yang sama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyokong Kerajaan Perpaduan.
Sehubungan itu katanya, PN kini di laluan berbeza dengan STAR dan hanya masa akan menentukan kedudukan parti itu dalam gabungan berkenaan selain ingin menunggu situasi politik semasa reda sebelum mengambil langkah selanjutnya.
GRS, yang dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), bekerjasama dengan Barisan Nasional, terdiri daripada UMNO, MCA, MIC serta Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), untuk mentadbir Sabah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!