Cabaran 100 hari buat Hannah
TEMPOH 100 hari disifatkan cabaran penting kepada kepimpinan baharu Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh, bagi melihat kembali pengisian pemerkasaan sukan sebagai ejen perpaduan dalam mengukuhkan lagi hubungan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, perancangan pemerkasaan sukan sebagai ejen perpaduan merupakan langkah penting dalam konteks pembentukan Kerajaan Perpaduan pada hari ini.
“Sukan ejen penting memupuk semangat perpaduan semasa proses awal pembentukan negara sebelum ini.
“Namun selepas itu sukan tidak lagi dapat kita lihat menjadi antara platform merapatkan hubungan masyarakat biarpun kita melihat perpaduan kerap dijelmakan dalam bentuk sokongan setiap kali atlet atau pasukan negara beraksi di peringkat antarabangsa.
“Adalah penting sukan berperanan sebagai agen perpaduan dengan penglibatan setiap golongan anggota masyarakat. Biarpun akan ada cakap-cakap apalah yang boleh dicapai dalam 100 hari sekadar hanya lebih kepada perancangan atau penetapan hala tuju, namun ia tidak boleh dipandang ringan menteri.
“Saya percaya dan mengharapkan Hannah dapat menyediakan program-program yang dapat menyemarakkan kembali perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan disandang Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Hannah merupakan menteri ke-21 sejak penubuhan kementerian berkenaan pada 1964.
Untuk rekod, Hannah pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merupakan pemimpin wanita kedua dalam sejarah dilantik mengetuai Kementerian Belia dan Sukan selepas Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Tambah Pekan, kewujudan program sukan ini juga tidak hanya bersifat Indeks Prestasi Utama (KPI) kementerian tetapi perlu memiliki mekanisme kesinambungan sebagai agen perpaduan dalam jangka panjang.
Katanya, mekanisme penganjuran sukan yang melibatkan penyertaan rakyat khasnya belia negara ini juga memerlukan satu semangat baharu bagi memperkukuhkan jatidiri Malaysia.
“Kewujudan program perpaduan digembeleng kementerian daripada peringkat institusi pengajian tinggi, sekolah menengah dan rendah serta dalam kalangan anggota masyarakat juga perlu lebih holistik.
“Ini penting kerana kita tidak mahu sukan yang pernah menjadi agen perpaduan dalam membentuk semangat Malaysia juga terus terpisah mengikut sukan-sukan tertentu berdasarkan Melayu, Cina dan India.
“Kerangka pengisian 100 hari ini penting kerana walaupun umum mengetahui teras utama kementerian adalah pencapaian dalam sukan negara, namun harus diingat tanpa perpaduan kita sukar meraih dan mengekalkan kecemerlangan,” katanya.
Pekan juga menyarankan Hannah tidak hanya memfokuskan pencapaian sukan negara, sebaliknya juga pemerkasaan golongan belia di negara ini.
“Golongan belia ini berdepan cabaran mencabar terutamanya dalam meneruskan kesinambungan hidup berikutan perubahan ekonomi dunia.
“Kita tidak mahu seperti menteri-menteri belia dan sukan terdahulu yang selamanya kekal menjadi menteri sukan tanpa melihat kepada keperluan meningkatkan taraf ekonomi golongan belia.
“Sebaik-baik seimbangkan dan bergerak dalam satu jajaran sama, kerana sukan dan belia saling bertaut dalam agenda perpaduan serta pembangunan negara pada masa depan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!