Brazil buru kejuaraan buat Pele
SELEPAS mengesahkan tempat dalam kelompok lapan terbaik, Brazil fokus untuk meraih kejuaraan keenam Piala Dunia Qatar 2022.
Menuju hari untuk membuat perhitungan dengan Croatia pada aksi suku akhir Jumaat ini, skuad bimbingan Tite berada di prestasi terbaik selepas mengalahkan Korea Selatan 4-1 dalam saingan kalah mati pada Selasa.
"Sudah tentu kami mengimpikan gelaran ini. Hari ini adalah perlawanan keempat, masih berbaki tiga. Kami fokus untuk mendapatkan kejuaraan," ujar Neymar.
Pemain sensasi itu kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan buku lali.
Malah pada aksi itu, Neymar turut meledak menerusi sepakan penalti.
Kekalahan Korea Selatan kepada Brazil, Jepun pula tewas kepada Croatia dan Australia dikecewakan Argentina, bermakna ketiga-tiga wakil Asia tewas di peringkat kalah mati.
Brazil membuka tirai jaringan menerusi Vinicius Jr pada minit ketujuh, diikuti gol Neymar enam minit kemudian.
Richarlison kemudian menjadikan kedudukan 3-0 dengan jaringan menarik pada minit ke-29, berselang tujuh minit, Lucas Paqueta pula meledak untuk gol keempat.
Paik Seung-Ho menyumbang gol sagu hati buat Korea Selatan pada minit ke-76, namun belum cukup untuk menghalang Brazil merebut slot ke suku akhir.
"Saya harap kami dapat terus menari sehingga ke final. Kami juga menghadiahkan kemenangan ini kepada Pele. Semoga dia cepat sembuh," ujar Vinicius.
Selepas tamat perlawanan, para pemain membawa kain rentang tertera wajah legenda Brazil, Pele.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!