Minggu Sains Negara tarik 1.88 juta pelajar dan belia di Malaysia
SHAH ALAM - Minggu Sains Negara (MSN) 2022 berjaya menarik 1.88 juta penglibatan pelajar dan belia berusia tujuh hingga 30 tahun menerusi pelbagai program-program sains, teknologi dan inovasi (STI).
Program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang dilaksanakan mulai April hingga Oktober lalu telah menganjurkan sebanyak 212 program berteraskan pembudayaan STI.
Kesemua program berlangsung secara dalam talian itu melibatkan bidang kesihatan planet, kimia dan bioteknologi, kegunaan aman nuklear, inovasi sosial, kejuruteraan, nanoteknologi dan angkasa.
Dengan tema ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi’, program perdana MOSTI ini bertujuan menarik serta memupuk minat generasi muda terhadap STI, seterusnya menjadikan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sebagai pilihan kerjaya masa hadapan.
Antara program yang dijalankan ialah pertandingan, seminar, ceramah, kuiz, pameran maya, bengkel maya, pertandingan membuat video serta pelbagai lagi.
Selain itu, MOSTI turut mengiktiraf sumbangan ahli akademik dan juruteknik menerusi Anugerah Saintis Muda Negara (Sains Fizikal) 2022 dan Anugerah Juruteknik Sains Negara 2022.
Pemenang bagi kedua-dua kategori ini telah membawa pulang wang tunai masing-masing bernilai RM10,000, sijil berserta trofi.
Anugerah Saintis Muda Negara (Sains Fizikal) merupakan pengiktirafan terhadap pencapaian saintis muda dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) sains dan teknologi (S&T), manakala Anugerah Juruteknik Sains Negara pula memberi pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang oleh juruteknik bidang sains dan teknologi (Juruteknik atau Pembantu Makmal) serta kakitangan separa profesional yang berkaitan dengan S&T.
Anugerah Saintis Muda Negara (Sains Fizikal) 2022 telah dimenangi oleh pensyarah dan pendidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ang Wei Lun, dimana kajian beliau adalah berkaitan sistem pengurusan air bersepadu bagi merawat air sisa industri dan kemudiannya dapat digunakan sebagai sumber air alternatif untuk kegunaan rakyat Malaysia secara amnya.
Bagi Anugerah Juruteknik Sains Negara 2022 pula, anugerah ini telah dirangkul oleh Siti Hajar Bilal, seorang juruteknik dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Kajian beliau adalah berkaitan lemak sawit sebagai bahan asas produk kesihatan telah berjaya dibuktikan dengan penghasilan sabun lutsinar berasaskan lemak minyak sawit. Paten bagi sebatian kimia yang digunakan sebagai asas penghasilan sabun lutsinar telah berjaya dikomersialkan oleh empat syarikat tempatan dan telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Pelaksanaan MSN 2022 ini telah melibatkan pelbagai agensi dan jabatan serta rakan strategik yang turut bersama-sama mendukung hasrat memperkaya STI dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.
Pelaksanaan program sebegini juga diharapkan dapat memupuk serta meningkatkan minat para pelajar dan belia untuk terus memperkasakan STI dalam kehidupan seharian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!