Tindakan disiplin jika ahli PKR terlibat tahan kereta polis
KUALA LUMPUR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengambil tindakan disiplin jika terdapat bukti ahli-ahli parti itu terlibat dalam insiden menahan dan memeriksa kereta peronda polis ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau diadakan semalam.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, parti itu tegas menolak sebarang budaya samseng dan tindakan melampaui batas undang-undang
"PKR juga akan segera mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya sekiranya dibuktikan bahawa individu-individu yang terlibat adalah anggota PKR," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas beliau, tindakan beberapa individu yang didakwa sebagai penyokong sebuah parti politik telah menahan dan memeriksa kereta peronda polis di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Chung Hua itu tidak boleh dipertahankan.
"Tindakan individu-individu tersebut adalah melampau dan mengganggu penjawat awam terutamanya pihak berkuasa yang sedang bertugas," katanya.
Sehubungan itu, PKR akan segera memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak polis dalam menyiasat kejadian tersebut.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, kereta dinaiki dua anggota polis berpangkat sarjan dan koperal yang membantu kawalan lalu lintas dan mengiringi kertas undi PRK DUN Rantau dihampiri lima lelaki terbabit di hadapan SJKC Chung Hua.
Mereka kemudian meminta supaya but kenderaan dibuka kerana disyaki membawa kertas lebihan undi.
Bagaimanapun selepas diperiksa, mereka mendapati tiada sebarang kertas undi yang dimaksudkan lalu meminta maaf kepada anggota polis berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!