Tengku Zafrul di UAE saksi kerjasama perdagangan

Majlis pemeteraian kerjasama antara Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) turut disaksikan Al-Sultan Abdullah (lima dari kanan) dan Tengku Zafrul (lima dari kiri).
Majlis pemeteraian kerjasama antara Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) turut disaksikan Al-Sultan Abdullah (lima dari kanan) dan Tengku Zafrul (lima dari kiri).
A
A
A

SHAH ALAM - Tanda tanya mengenai ketidakhadiran Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Mesyuarat Khas Kabinet pada Isnin terjawab apabila beliau dilaporkan berada di Abu Dhabi atas urusan rasmi.

Menerusi perkongsian terbaru dalam Facebooknya pada Selasa, Tengku Zafrul memberitahu telah menyaksikan pemeteraian kerjasama antara Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC).

Menurutnya, kerjasama bersejarah bagi Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu bagi meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 yang meliputi kawasan konsesi 2,000km persegi di wilayah Al Dhafra.

“Hubungan perdagangan Malaysia dan UAE menjadi lebih kukuh dengan pemeteraian kerjasama antara Petronas dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) pada Isnin.

“Pemeteraian perjanjian ini menunjukkan keupayaan bersaing syarikat-syarikat Malaysia di peringkat antarabangsa. Ia juga mencerminkan hubungan rapat dua hala perdagangan Malaysia-UAE dan meningkatkan lagi silaturahim kedua-dua buah negara.

“Harapan saya adalah untuk melihat lebih banyak syarikat Malaysia berjaya di persada antarabangsa dan membuktikan lagi kebolehan Malaysia sebagai pesaing kelas pertama dalam kalangan pemain-pemain industri dunia, Insya-ALLAH,” katanya.

Antara yang hadir menyaksikan detik bersejarah itu adalah Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan; Menteri Industri dan Teknologi Maju UAE, Dr. Sultan Ahmed Al Jaber, merangkap Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ADNOC dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Tengku Zafrul adalah satu-satunya menteri yang tidak hadir pada Mesyuarat Khas Kabinet kali pertama diadakan dan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, terdapat dakwaan mengatakan bekas Menteri Kewangan itu berada di luar negara bagi menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia yang kini sedang berlangsung di Qatar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!