'Pas dari dulu bantah tambah kekerapan cabutan khas judi'

Khairil Nizam
Khairil Nizam
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin tampil memperjelaskan bahawa parti itu dari dulu lagi membantah langkah kerajaan menambah kekerapan cabutan khas judi.

Beliau yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Pemuda Pas pernah berbuat demikian apabila kerajaan menaikkan jumlah cabutan khas itu kepada 22 kali pada tahun lepas.

Ujarnya, terdapat penyokong Pakatan Harapan (PH) sanggup kitar semula fitnah menuduh Pas menyokong peningkatan cabutan judi.

“Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menurunkan cabutan judi itu merupakan usaha yang bagus tetapi tidak perlu ditambah dengan fitnah.

“Untuk makluman semua juga, cukai judi menunjukkan penurunan mendadak sepanjang Perikatan Nasional (PN) memerintah kerana banyak pusat judi berjaya ditutup di negeri-negeri Pas memerintah.

“Alang-alang, saya nak cadang kepada kerajaan untuk hapuskan terus judi macam yang dilaksanakan di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Ada berani?” soal beliau dalam siaran di Facebook pada Selasa.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan kekerapan cabutan khas perjudian kembali diturunkan kepada lapan kali setahun mulai Januari tahun hadapan.

Ia selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan cabutan khas perjudian itu dikurangkan berbanding 22 kali pada era pemerintahan kerajaan terdahulu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, berhubung dakwaan perbelanjaan RM600 bilion tanpa tender yang dibuat kerajaan terdahulu, Khairil Nizam turut menggesa supaya kerajaan mengemukakan bukti berhubung perkara itu.

“Buat apa bayang-bayang. Kalau ada bukti, kemukakanlah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!