Mahasiswa UM kemuka lima tuntutan kepada KPT

Gambar kecil: Nazirah Abdullah
Gambar kecil: Nazirah Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya pada Selasa mengemukakan lima tuntutan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memastikan pendidikan tinggi terus bergerak maju dan berdaya saing.

Pengerusinya, Nazirah Abdullah berkata, tuntutan pertama adalah menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) kerana ia tidak menyokong semangat aktivisme dan menyekat mahasiswa menjadi gerakan bersifat aktivis serta mandiri.

Ujarnya, dengan adanya AUKU ini, ia membantutkan semangat aktivis mahasiswa mempunyai autonomi, kebebasan bersuara dan menyekat untuk mengumpul dana serta membuat kutipan sendiri.

"Jika dibandingkan dengan gerakan mahasiswa pada era 70-an, semangat aktivis mahasiswa sangat tinggi sehingga berjaya membela nasib golongan masyarakat seperti peristiwa Baling," katanya dalam satu kenyataan.

Nazirah berkata, tuntutan kedua pihaknya adalah Perkara 48 Jadual pertama AUKU mengenai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) ditukarkan kepada Kesatuan Pelajar kerana erti sebenar sebuah badan pelajar yang mempunyai autonomi sendiri kini sudah terkubur.

"Zaman kegemilangan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menyaksikan kesatuan ini mampu mempunyai aset sendiri seperti bas mini dan memiliki perniagaan makanan sendiri di kafeteria dan kantin kampus.

"KMUM juga pernah dianggap sebagai Kesatuan Mahasiswa yang paling kaya di Asia Tenggara," katanya.

Gesaan ketiga yang dibuat oleh Nazirah adalah agar Kerajaan Perpaduan termasuk KPT memperluas lebih banyak peluang pekerjaan kerana kadar pengangguran belia masih berada pada tahap 5.3 peratus di samping ia bukan satu petunjuk yang baik untuk jangka masa panjang.

Artikel Berkaitan:

"Keempat, masalah penginapan pelajar pada sesi kali ini melihatkan pelbagai isu yang timbul. Perkara ini berlaku apabila jumlah pengambilan pelajar baharu setiap kali sesi kemasukan semakin bertambah dan tidak sepadan dengan kapasiti kolej kediaman untuk menempatkan kesemua pelajar.

"Kesannya, mahasiswa tahun dua dan ke atas perlu mencari rumah sewa. Perkara ini dikira memberi bebanan kerana kos sewaan harga bilik atau rumah pada hari ini tinggi dan tidak relevan untuk seseorang yang berstatus mahasiswa," jelasnya.

Katanya, gesaan kelima adalah tentang isu pengangkutan atau bas di universiti di mana ia perlu diselesaikan.

"Jika dilihat, rata-rata mahasiswa di universiti menggunakan perkhidmatan bas terutamanya pelajar tahun pertama yang tidak dibenarkan membawa kenderaan sendiri.

"Hal ini menyebabkan permintaan untuk mendapatkan perkhidmatan bas dalam dan luar kampus sangat tinggi sedangkan bilangan bas yang sedia ada tidak relevan dengan jumlah permintaan oleh mahasiswa.

"Lebih membimbangkan lagi apabila mahasiswa dan mahasiswi perlu berebut-rebut dan berhimpit antara satu sama lain serta boleh mencetuskan isu lain seperti gangguan seksual," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!