161,063 dijangka mengundi di Parlimen Padang Serai, DUN Tioman

SPR memaklumkan sebanyak 63 pusat mengundi akan dibuka pada PRU15 bagi Parlimen Padang Serai di Kedah dan DUN Tioman di Pahang. - Foto fail Bernama
SPR memaklumkan sebanyak 63 pusat mengundi akan dibuka pada PRU15 bagi Parlimen Padang Serai di Kedah dan DUN Tioman di Pahang. - Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 161,063 pengundi dijangka keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) melibatkan 63 pusat mengundi bagi Parlimen P017 Padang Serai di Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) N42 Tioman di Pahang.

SPR dalam kenyataan berkata, seramai 132,955 pengundi dijangka mengundi di Parlimen Padang Serai manakala DUN Tioman pula membabitkan 28,108 pengundi.

“Sebanyak 46 pusat mengundi dan 230 tempat mengundi akan dibuka untuk tujuan pengundian bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P017 Padang Serai yang juga melibatkan seramai 2,468 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian ini nanti.

“Manakala bagi Bahagian Pilihan Raya DUN N42 Tioman, Pahang pula, sebanyak 17 pusat mengundi yang mengandungi 52 tempat mengundi akan dibuka melibatkan 506 orang petugas.

“SPR berharap semua pengundi menjalankan tanggungjawab mereka dengan mengundi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, SPR menasihatkan pemilih supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 6 petang atau waktu yang telah diwartakan.

“Oleh yang demikian, pengundi adalah dinasihatkan untuk membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

PRU15 di kedua-dua kawasan tersebut ditangguhkan susulan kematian calon yang disahkan bertanding iaitu M Karupaiya dari Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli mewakili Perikatan Nasional (PN) di DUN Tioman.

Karupaiya, 69, meninggal dunia pada 16 November dipercayai akibat serangan jantung dan komplikasi kesihatan, manakala Md Yunus, 61, disahkan meninggal dunia beberapa jam sebelum proses pengundian PRU15 pada 19 November lepas.

Perebutan kerusi Parlimen Padang Serai akan menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak, Datuk C Sivaraajh (Barisan Nasional), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional) dan Hamzah Abd Rahman (Pejuang).

Dua lagi pencabar ialah Mohd Bakhri Hashim, mewakili Parti Warisan dan calon Bebas, Sreanandha Rao.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!