Kerajaan digesa tangani segera isu bekalan telur: CAP

Mohideen Abdul Kader
Mohideen Abdul Kader
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyelesaikan masalah kekurangan bekalan telur ayam segera.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, hasil tinjauan pihaknya, kebanyakan peniaga runcit dan pasar awam mendakwa sukar untuk mendapatkan bekalan itu sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, perkara itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna berikutan telur ayam merupakan sumber protein termurah di pasaran.

"Tinjauan CAP mendapati telur ayam masih terdapat di pasar awam dan kedai runcit di sekitar Gelugor, Bayan Baru, Jelutong dan Batu Lanchang.

"Bagaimanapun, peniaga runcit mendakwa sukar untuk mereka mendapatkan bekalan kerana kuantiti yang diterima daripada pemborong adalah kurang berbanding peniaga di pasar," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kata beliau, selain kekurangan telur ayam, CAP juga mendapati ada peniaga yang menjual telur gred rendah sebagai telur gred premium.

"Kita mendapati, ada peniaga yang menjual telur Gred A dan B sebagai telur premium (gred AA) dengan harga 66 sen sebiji, sedangkan harga telur Gred A ditetapkan pada 45 sen sebiji dan Gred B, 43 sen.

"Sehubungan itu, CAP menggesa kementerian menyiasat perkara ini kerana golongan berpendapatan sederhana akan terjejas teruk akibat kenaikan harga barang.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan segera perlu diambil untuk mengurangkan dan mengawal harga semua barangan," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!