Raja Permaisuri Agong hadiahkan keringkam kepada Sarawak

Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menghadiahkan keringkam perkahwinan miliknya untuk dipamerkan di Muzium Sarawak selepas merasmikan Lembaran Emas Siri 2: Borneo Textile Symposium, pada Selasa. - Foto Bernama
Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menghadiahkan keringkam perkahwinan miliknya untuk dipamerkan di Muzium Sarawak selepas merasmikan Lembaran Emas Siri 2: Borneo Textile Symposium, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menghadiahkan Keringkam Sarawak milik baginda kepada pihak Muzium Sarawak untuk dipamerkan kepada umum.

Tunku Azizah bertitah, keringkam berusia 35 tahun yang diterimanya sebagai hantaran perkahwinan itu mempunyai nilai seni yang tinggi serta perlu dihargai oleh generasi baharu agar ia tidak dilupakan bagi memartabatkan keindahan seni tenunan kain.

Ini adalah hadiah perkahwinan dalam satu daripada 16 dulang yang saya dapat ketika berkahwin dengan suami saya (Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

"Memandangkan ia adalah Keringkam Sarawak, hari ini saya mahu menyerahkan kepada kerajaan Sarawak untuk dipamerkan di muzium,” titah baginda pada majlis perasmian Lembaran Emas Siri 2: Simposium Tekstil Borneo di sini, pada Selasa.

Baginda yang juga merupakan Penaung Pusat Pengeluaran Songket Kontemporari Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) menyeru tukang tenun yang mahir agar tidak lokek berkongsi ilmu serta menurunkan kemahiran yang ada kepada generasi baharu.

Tunku Azizah bertitah, jumlah penenun berkemahiran semakin kurang dalam kalangan masyarakat dan mereka yang sudah tidak bergiat lagi dalam bidang itu perlu digalakkan untuk kembali aktif bagi membolehkan generasi baharu untuk belajar daripada mereka.

"Kami dapati semakin berkurangan orang yang terlibat dalam tenunan dan kita mesti galakkan mereka kembali kerana adalah penting bagi penenun untuk menurunkan pengetahuan mereka. Kita mesti pastikan ilmu dan warisan ini tidak luntur ditelan zaman.

"Adalah penting bagi mereka untuk menurunkan pengetahuan mereka untuk kita dokumentasikan setiap bahagian, bagi membolehkan kita mewariskannya kepada generasi akan datang,” titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Tunku Azizah bertitah, industri tekstil semakin berkembang pesat serta mampu meningkatkan nilai eksport dan import, justeru peluang perlu diambil untuk mempromosikan tekstil komuniti di negara ini ke persada dunia.

Lembaran Emas Siri 2: Simposium Tekstil Borneo 2022 dianjurkan bertujuan untuk memupuk hubungan antara masyarakat dan pemain industri tekstil, selain menjadi platform pertukaran idea ke arah pemeliharaan dan kemampanan tekstil di seluruh dunia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!