Jumlah penduduk bumiputera dianggar 21.13 juta
PUTRAJAYA - Jumlah penduduk bumiputera pada tahun ini dianggarkan seramai 21.13 juta dengan kadar pertumbuhan sebanyak 1.1 peratus daripada 20.9 juta orang tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM dalam kenyataan memaklumkan, jumlah penduduk lelaki ialah 10.69 juta mengatasi perempuan dengan 10.44 juta dengan nisbah jantina adalah 102 lelaki berbanding 100 perempuan.
"Dari segi perangkaan demografi, bilangan kelahiran hidup bagi bumiputera pada 2021 adalah 357,140 dengan jangkaan hayat ketika lahir adalah 70.5 tahun bagi lelaki dan 74.7 tahun bagi perempuan.
"Sementara itu, kadar kesuburan jumlah bagi seorang wanita bumiputera adalah 2.1 pada 2021 berbanding 2.2 pada 2020,” menurut kenyataan itu.
Statistik Bumiputera 2022 diterbitkan buat julung kali hari ini yang memaparkan statistik berkaitan bumiputera dalam bidang sosial dan ekonomi di peringkat nasional dan negeri dari 2017 hingga 2022.
Menurut DOSM, bilangan kematian bagi bumiputera yang dicatatkan pada 2021 adalah 138,868 kematian dengan tiga sebab utama kematian yang disahkan secara perubatan adalah jangkitan Covid-19 dengan 17,654 kematian, penyakit jantung iskemik (13,563) dan pneumonia (10,914).Mengenai tenaga buruh, seramai 9.26 juta tenaga buruh pada 2021 adalah bumiputera yang terdiri daripada 5.58 juta lelaki dan 3.68 juta perempuan.
"Pada 2021, berdasarkan pencapaian pendidikan, sumbangan tenaga buruh bumiputera yang berpendidikan peringkat menengah dan ke bawah adalah 64.8 peratus manakala 35.2 peratus tenaga buruh bumiputera berpendidikan tinggi,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, kadar pengangguran dalam kalangan bumiputera adalah 5 peratus pada 2021 berbanding 4.5 peratus pada 2020.
Dari segi statistik siswazah, bilangan siswazah bumiputera yang direkodkan pada 2021 adalah seramai 3.63 juta orang dengan 1.63 juta daripadanya adalah lelaki manakala 2 juta perempuan.
Bagi statistik pindah milik harta tanah pada 2021, transaksi harta kediaman yang direkodkan adalah 106,276 dengan nilai transaksi RM30.83 bilion dan pindah milik harta tanah jenis komersial pula mencatatkan 2,834 transaksi dengan nilai pindah milik bernilai RM1.45 bilion.Sementara itu, bilangan bumiputera yang berdaftar di institusi kebajikan am di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 2021 meningkat kepada 3,228 orang daripada 2,948 orang pada 2020.
"Daripada jumlah itu, 1,402 orang di institusi kanak-kanak, 495 orang di institusi Orang Kurang Upaya dan 1,051 orang di institusi warga emas dan orang papa,” menurut kenyataan itu. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!