Axiata umum dividen khas susulan penggabungan Celcom-Digi

No Image Caption
A
A
A

AXIATA Group Bhd hari ini mengumumkan dividen khas sebanyak empat sen yang dikecualikan cukai di bawah sistem satu peringkat sesaham bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2022.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, kumpulan telekomunikasi itu berkata, dividen tersebut adalah susulan kejayaan penggabungan Celcom-Digi yang selesai pada 30 Nov, 2022.

"Berikutan transaksi itu, Axiata menerima pertimbangan tunai sebanyak RM2.5 bilion daripada Digi.Com Bhd serta RM300 juta daripada Telenor Asia Pte Ltd yang sejajar dengan terma Perjanjian Pembelian Saham dan Perjanjian Induk Transaksi,” katanya.

Menurut Axiata, sebahagian besar daripada hasil tunai penggabungan itu akan disalurkan bagi tujuan memperkukuh lembaran imbangan dengan mengurangkan hutang manakala baki tunainya untuk dividen khas sebagai menghargai kalangan pemegang saham.

Bagi melonjakkan pengembangan kumpulan di peringkat serantau, Axiata juga akan terus menempatkan perniagaan untuk merebut peluang baharu dalam usaha menerajui pendigitalan untuk masyarakat di serata Asia. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!