Perlu seminggu untuk soal bekas pegawai bank urus akaun Najib

Muhammad Shafee Abdullah. - Foto Bernama
Muhammad Shafee Abdullah. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasukan pembelaan dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengambil masa selama seminggu untuk pemeriksaan balas bekas Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping yang mengendalikan akaun milik bekas perdana menteri itu.

Peguam bela utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, demikian ketika ditanya oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Sequerah berapa lama bekas pegawai bank itu akan disoal balas dalam perbicaraan kes Najib yang melibatkan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB.

Muhammad Shafee berkata, beliau akan memulakan pemeriksaan balas ke atas Ging Ping esok dan ia memerlukan beliau seminggu untuk menghabiskan pertanyaan terhadap saksi. Ging Ping telah selesai menghadapi pemeriksaan utama.

Sebelum itu, Ging Ping memberi keterangan bagaimana akaun peribadi Ambank Najib dibuka dan bagaimana ahli perniagaan dalam perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low telah menghubungi AmBank pada 2009 untuk penerbitan bon RM10 bilion dengan tempoh 30 tahun untuk pendahulu 1MDB, Terengganu Investment Authority (TIA), "yang tidak pernah berlaku sebelum ini”.

Hari ini, mahkamah juga mendengar hujahan daripada Muhammad Shafee dan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengenai sama ada rakaman audio antara Najib dan seorang kerabat diraja Saudi boleh diterima dalam perbicaraan.

Muhammad Shafee berhujah bahawa hak Najib untuk satu perbicaraan yang adil mungkin terjejas jika mahkamah membenarkan kemasukan perbualan peribadinya dengan anggota kerabat Saudi itu yang ingin dibawa pendakwaan ke dalam perbicaraan itu, mungkin dicemari dengan maklumat palsu.

"Jika pematuhan undang-undang yang mentadbir kemasukan bukti dokumentari tidak dipatuhi, tertuduh berada di dalam keadaan yang merugikannya kerana bukti itu tidak akan dikecualikan.

Malah lebih buruk lagi, tiada cara untuk tertuduh membangkitkan sebarang bantahan berkaitan ketidakpatuhan itu kerana susunan kata dan terjemahan kepada Seksyen 41(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Artikel Berkaitan:

Pihak pendakwaan telah menyalahgunakan proses mahkamah dengan tidak memasukkan komunikasi yang dipintas di bawak Seksyen 43 Akta SPRM tetapi sebaliknya menggunakan pintu belakang dengan memaksa mahkamah menerima "bukti dokumen” di bawah Seksyen 41(A) Akta SPRM,” kata beliau.

Muhammad Shafee menegaskan untuk menerima rakaman audio itu di bawah Seksyen 41 (A) Akta SPRM adalah tidak mengikut perlembagaan kerana ia tidak memakai peruntukan di bawah Akta Keterangan 1950.

Di bawah Seksyen 41 (A) Akta SPRM menyatakan apa-apa dokumen atau salinan apa-apa dokumen diperoleh SPRM di bawah Akta ini dokumen itu hendaklah diterima sebagai keterangan dalam mana-mana prosiding di bawah Akta ini.

Pihak pendakwaan semalam berhujah adalah sukar untuk mereka untuk membawa individu korup ke muka pengadilan jika mereka perlu mematuhi peraturan di bawah Akta Keterangan.

Sri Ram berkata keperluan pendakwaan untuk membuktikan setiap dokumen menurut peraturan ketat Akta itu menyebabkan ramai pesalah rasuah boleh melepaskan diri.

Najib, 69 berhadapan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan bersambung esok. - Bernama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!