Hilang dua minggu, warga emas ditemui maut dalam semak
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, mayat Abu Zahrin A Hassan, 67, yang lengkap berpakaian itu ditemukan seorang pemilik dusun di kawasan berkenaan kira-kira jam 2.30 petang.
“Dari segi fizikal dipercayai mayat tersebut telah meninggal dunia melebihi tiga hari. Setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikaitkan dengan penemuan mayat itu.
"Pengecaman mayat telah dibuat oleh adik, anak dan saudara mangsa petang tadi dan ia disahkan warga emas berkenaan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan warga emas itu didapati tidak pulang sejak 22 November lepas setelah keluar dari rumahnya di Kampung Sikai, Gunung Pasir, Seri Menanti dekat sini.
Kehilangannya disedari adiknya, Norliza A Hassan, 53, yang tinggal bersebelahan rumahnya susulan dia tidak datang makan malam seperti kebiasaan sebelum membuat laporan polis pada keesokan harinya.
Sementara itu, Norliza berkata, seluruh keluarganya reda dengan pemergian abangnya yang mesra dipanggil Ujang, selain mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk orang kampung, anggota polis dan bomba yang membantu pencarian Abu Zahrin.
“Alhamdulillah, penantian saya terjawab walaupun ditemukan sudah meninggal dunia.
"Ketika ini mayat masih lagi berada di hospital untuk bedah siasat, Insya-ALLAH akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sikai, esok,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!