Mukhairi masih cari rentak selepas rehat lapan hari

Mukhairi. - Foto Bernama
Mukhairi. - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN tengah Selangor FC, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi masih mencari rentak terbaiknya dalam sesi latihan selepas mula menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan pada Isnin, menjelang Piala AFF 2022.

Pemain tengah berusia 21 tahun itu mengakui berasa agak kekok kembali menjalani latihan selepas diberikan rehat selama lapan hari susulan beraksi pada final Piala Malaysia 2022 penghujung bulan lalu.

Menurut Mukhairi beliau akan menggandakan usaha untuk mencapai tahap prestasi terbaik menjelang dua perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Kemboja dan Maldives masing-masing pada 9 dan 14 Disember ini sebelum menghadapi Piala AFF dari 20 Disember hingga 16 Januari depan.

“Saya bersyukur dapat kembali bersama skuad senior, semalam saya rasa agak kekok sebab baru habis bercuti tetapi saya akan berusaha lagi (atasi) kekurangan.

“Saya mahu bagi sehabis baik dan kalau terpilih ke Piala AFF pertama sekali saya akan tunjuk apa yang saya ada... setiap tugasan skuad kebangsaan saya memang letak harapan dapat berada dalam pasukan,” katanya pada sesi latihan pasukan negara di Wisma FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) di Kelana Jaya pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon memanggil pemain skuad Bawah 23 Tahun Aliff Izwan Yuslan menyertai kem latihan pasukan itu manakala pemain sayap Terengganu FC (TFC), Mohd Faiz Mohd Nasir digugurkan kerana masalah kesihatan.

Pada aksi antarabangsa Tier 1, skuad Harimau Malaya akan menentang Kemboja di Stadium Nasional di Bukit Jalil manakala pertembungan dengan Maldives dijadual berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

Pada saingan Piala AFF 2022 pula, pasukan negara yang diundi dalam Kumpulan B akan bertemu Myanmar di Yangon pada 21 Disember, Laos di Bukit Jalil (24 Disember), Vietnam di Hanoi (27 Disember) dan Singapura di Bukit Jalil (3 Januari).

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!