Daun ketum 158kg ditemui dalam kereta kemalangan
GUA MUSANG - Kemalangan dua kereta di Kilometer (KM) 74 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini pada Selasa membongkar penemuan muatan daun ketum berjumlah 158 kilogram (kg).
Kemalangan berlaku pada jam 1.30 tengah hari melibatkan dua kereta jenis Toyota Vios dan Honda City.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, suspek lelaki yang memandu Toyota Vios bermuatan ketum itu berusia 24 tahun mengalami cedera parah di kepala.
“Suspek dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di Hospital Kuala Krai manakala pemandu Honda City juga seorang lelaki berusia 34 tahun pula mengalami patah tangan kanan serta dirawat di hospital sama,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan lanjut di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku ketika suspek memandu dari arah Kuala Krai menuju ke Gua Musang.
“Semasa sampai di lokasi kejadian, kereta dipandu suspek dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Honda City itu.
“Hasil pemeriksaan ke atas kereta Toyota Vios tersebut mendapati suspek membawa 158kg muatan daun ketum di dalam but kereta terbabit,” katanya.
Tambah beliau, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat.
“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 ke atas penemuan gulungan plastik berisi daun ketum terbabit,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!