Bierhoff 'mangsa pertama' penyingkiran Jerman

Oliver Bierhoff. - Foto AFP
Oliver Bierhoff. - Foto AFP
A
A
A

PENGARAH pasukan Jerman, Oliver Bierhoff menjadi mangsa pertama susulan penyingkiran pasukan itu dalam pusingan pertama Piala Dunia 2022 di Qatar apabila bersetuju untuk melepaskan jawatannya dua tahun sebelum kontraknya tamat.

“Oliver Bierhoff telah meraih banyak kejayaan untuk DFB, walaupun tersasar dalam beberapa kejohanan terakhir daripada matlamat ditetapkan pasukan,” kata Presiden Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB), Bernd Neuendorf.

Bekas pemain antarabangsa itu sebelum ini memegang jawatannya sebagai pengarah pasukan selama 18 tahun, dikritik hebat selepas Jerman tersingkir awal kali kedua berturut-turut di Piala Dunia.

Bagaimanapun jelas Neuendorf berkata, usaha Bierhoff yang memainkan peranan dalam membantu Jerman memenangi kejuaraan edisi Brazil 2014 daripada empat gelaran Piala Dunia tidak akan dilupakan.

“Dia akan sentiasa dikaitkan dengan kejayaan Piala Dunia di Brazil. Walaupun dalam keadaan bergelora dia sentiasa mengikut matlamat dan visi,” katanya.

Jerman tersingkir daripada kejohanan di Qatar selepas tewas kepada Jepun, seri dengan Sepanyol dan menewaskan Costa Rica dalam perlawanan terakhir Kumpulan E.

Di edisi Rusia 2018, Jerman juga telah tersingkir awal pada peringkat sama yang disifatkan pencapaian terburuk dalam tempoh 80 tahun.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!