Portugal langgar habis Switzerland
PORTUGAL melaung amaran awal bahawa gergasi Eropah itu sudah bersedia mencabar kejuaraan Piala Dunia apabila membelasah Switzerland, 6-1 dalam pusingan 16 terbaik Qatar 2022 di Stadium Lusail awal pagi Rabu.
Portugal kembali menyenaraikan kesebelasan utama selepas kekalahan 1-2 kepada Korea Selatan dalam perlawanan terakhir Kumpulan H di Stadium Education City pada 2 Disember lalu.
Namun pengendali Fernando Santos mengambil pendekatan berani apabila menamatkan rentetan 31 perlawanan Cristiano Ronaldo sebagai pemain kesebelasan utama sejak 2008 dengan menyenaraikan bekas pemain Manchester United itu di bangku simpanan.
Situasi itu menyaksikan Portugal yang merupakan pilihan dalam perlawanan ini terpaksa menunggu hingga minit ke-17 untuk merobek jaring Switzerland yang dihasilkan bintang muda kelab liga Portugal, Benfica, Goncalo Ramos dengan menewaskan Yann Sommer.
Gol itu ternyata menyuntik motivasi kem Portugal yang kemudiannya melebarkan jaringan menerusi pemain sensasi Porto FC, Pepe pada minit ke-33 bagi memimpin separuh masa pertama.
Switzerland kendalian Murat Yakin yang membuat dua perubahan kepada pasukan yang melakar kemenangan 3-2 ke atas Serbia minggu lalu sekali lagi terus ketinggalan apabila Ramos meledak jaringan ketiga Portugal minit ke-51.
Bintang kelab Bundesliga Jerman, Borussia Dortmund Raphaël Guerreiro kemudian menjadikan kedudukan 4-0 di minit ke-55', sebelum Switzerland kembali bernafas menerusi ledakan pemain Manchester City, Manuel Akanji pada minit ke-58.
Ramos kemudian melengkapkan hatrik pertama Qatar 2022 apabila menjaringkan gol kelima pasukannya pada minit ke-67 sebelum pemain gantian kelab Serie A Itali Rafael Leao melabuhkan pesta gol Portugal pada minit ke-92.
Kemenangan itu menyaksikan Portugal akan membuat perhitungan dengan Maghribi di pentas lapan terbaik di Stadium Al Thumama pada Sabtu ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!