Penyamun solo kedai serbaneka diberkas

Mohamad Farouk menunjukkan barangan yang dirampas ketika sidang akhbar di IPD Ampang Jaya pada Rabu.
Mohamad Farouk menunjukkan barangan yang dirampas ketika sidang akhbar di IPD Ampang Jaya pada Rabu.
A
A
A

AMPANG - Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam lapan kes samun kedai serbaneka di Cheras dan Ampang ditahan di Jalan Pandan 2/2, Pandan Jaya, di sini, pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang juruwang kedai serbaneka mendakwa premis terbabit disamun pada jam 9 pagi hari yang sama.

"Suspek berusia 26 tahun itu pada awalnya berpura-pura membeli rokok. Selepas membuat pembayaran suspek yang bersenjatakan pisau itu melompat masuk ke kaunter lalu menyamun wang tunai sebanyak RM150 serta rokok," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada Rabu.

Mohamad Farouk berkata, pihaknya berjaya memberkas suspek selepas membuat serbuan di bilik sewanya pada jam 8.30 malam di Pandan Jaya.

"Kita turut merampas pakaian, rokok, wang tunai, topi keledar yang dipakai ketika suspek melakukan jenayah samun dan sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 berwarna hijau,” jelasnya.

Menurutnya, lelaki itu juga pernah menjadi mangsa samun dan dia melakukan jenayah terbabut secara bersendirian selepas kehidupannya yang terdesak dan tidak bekerja.

"Hasil soal siasat mendapati suspek sudah melakukan tiga samun di Cheras dan lima di kawasan Ampang yang membawa keuntungan sekitar RM2,000," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan suspek direman sehingga esok,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!