Selangor kekal kecualikan cukai pintu rumah kampung, kos rendah
SHAH ALAM - Selangor meneruskan pengecualian cukai pintu rumah kampung dan kos rendah pada tahun hadapan dengan melibatkan kos berjumlah RM68.74 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pengecualian cukai pintu rumah kampung dan kos rendah itu antara usaha kerajaan negeri bagi meringankan beban hidup rakyat.
"Insya-ALLAH, cukai pintu bagi rumah kampung dan rumah kos rendah akan terus dikecualikan pada tahun hadapan sebagai antara langkah meringankan beban hidup rakyat.
"Pengecualian ini melibatkan kos bernilai RM68.74 juta. Ini sebahagian usaha melegakan tekanan hidup rakyat Selangor.
"Walau kelihatan seperti kehilangan pendapatan buat negeri, hasil-hasil negeri yang lain masih baik dan mencukupi," kata Menteri Besar di laman Facebooknya pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata, pengurusan berintegriti dan telus membolehkan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam mengambil keputusan tersebut.
"Malah pada masa sama, (kerajaan negeri Selangor) masih memperuntukkan lebih RM600 juta untuk 42 program dalam Iltizam Selangor Penyayang," tambahnya.
Sebagai rekod, pengecualian cukai pintu bagi rumah kampung dan kos rendah diperkenalkan kerajaan negeri Selangor setiap tahun sejak 2016.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!