Malaysia capai 71 peratus indikator SDG
SHAH ALAM - Malaysia mencapai 175 indikator atau 71 peratus Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) pada 2021, meningkat 29 indikator berbanding 146 indikator (59 peratus) pada tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, sebanyak 16 Matlamat telah mencapai ketersediaan indikator melebihi 50 peratus dengan indikator tertinggi mengikut matlamat adalah Matlamat 4: Pendidikan Berkualiti (100 peratus) diikuti Matlamat 9: Industri, Inovasi dan Infrastruktur (92 peratus) dan Matlamat 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan (89 peratus).
Selain itu katanya, matlamat yang mencatatkan ketersediaan indikator di bawah 50 peratus adalah Matlamat 6: Air Bersih dan Sanitasi (45 peratus)di samping 41 indikator (17 peratus) masih perlu dibangunkan; 17 indikator (tujuh peratus) tidak tersedia dan 15 indikator (enam peratus) tidak relevan kepada Malaysia.
“Buat julung kalinya pada tahun ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menghasilkan lima Laporan Indikator SDG Malaysia 2021 yang meliputi Ringkasan Eksekutif dan empat pelaporan mengikut tema lima bidang tumpuan iaitu Kemajuan Masyarakat; Kemakmuran; Penjagaan Bumi; Keamanan dan Kerjasama.
"Pengukuran indikator SDG adalah berdasarkan kerangka indikator global yang dibangunkan oleh 'Inter-agency and Expert Group on SDG Indicators' (IAEG SDG) yang diterima pakai oleh 'United Nations General Assembly' dalam resolusi 71/313.
"Bilangan indikator SDG global yang terkini adalah 248 indikator dan penyusunan indikator ini adalah berdasarkan statistik dan dapatan survei yang dilaksanakan oleh DOSM serta data pentadbiran serta survei daripada pelbagai agensi / kementerian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu Mohd Uzir turut memaklumkan, DOSM telah melaksanakan inisiatif baharu menggunakan sumber data bukan tradisional iaitu data geospatial bagi menghasilkan tiga indikator baharu bagi Matlamat 11: Bandar dan Komuniti yang Mampan.
Jelasnya, bagi mengurangkan jurang ketersediaan indikator SDG dan penyediaan data yang lebih granular, DOSM akan mengukuhkan kerjasama bersama agensi dan kementerian,
pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan akademia dalam usaha pembangunan indikator SDG di peringkat lokal dan nasional.
"Kerjasama dan komitmen semua agensi/ kementerian adalah penting dalam pengumpulan data bagi penyediaan indikator yang berkualiti untuk mengukur dan memantau pencapaian
Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang turut dijajarkan kepada SDG," katanya.
Sementara itu DOSM hari ini menerbitkan Laporan Indikator SDG Malaysia 2021, iaitu laporan keempat Indikator SDG tahun ini.
Laporan yang mengandungi 175 indikator termasuk 29 yang baharu di peringkat nasional dan 20 di peringkat daerah itu menyediakan input bagi penilaian pencapaian SDG tahun lalu.
Secara keseluruhan, pencapaian SDG di Malaysia terkesan akibat penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Masyarakat telah terkesan dari aspek kesihatan, ekonomi dan sosial. Dari aspek kesihatan, indikator di bawah Matlamat 3: Kesihatan yang baik dan kesejahteraan menunjukkan kadar kematian disebabkan kemalangan jalan raya bagi setiap 100,000 penduduk menurun daripada 14.3 peratus (2020) kepada 13.9 peratus (2021).
"Antara sebab yang menyumbang kepada penurunan ini adalah sekatan perjalanan rentas sempadan yang dilaksanakan semasa PKP," menurut kenyataan itu.
Selain itu dari segi penggunaan internet, peratusan individu yang menggunakan kemudahan itu meningkat daripada 89.6 peratus (2020) kepada 96.8 peratus pada 2021 disebabkan perlaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan dasar bekerja dari rumah (BDR).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!