[VIDEO] Cadang enam negeri adakan PRN serentak selepas habis penggal
SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berpendapat adalah lebih baik enam negeri yang belum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara serentak iaitu selepas habis penggal tahun hadapan.
Jelasnya, pembubaran DUN secara serentak di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan adalah wajar bagi memudahkan pengundi mendapatkan cuti selain memastikan kos untuk mengadakan PRN di kesemua negeri itu tidak terlalu tinggi.
"Alhamdulillah mereka semua nampak bersetuju untuk kita sekali bersamalah (bubar DUN serentak). Itu antara yang kita bincang secara tidak rasmi ketika bertemu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang terbaru ini.
"Tetapi itu di peringkat Menteri Besar, sebab kita ada Presiden, Timbalan Presiden parti dan dalam tiga lagi rakan kita itu pun ada presiden partinya.
"Jadi kalau di sebelah sana pun okay kita akan adakan pilihan raya secara bersamalah, kalau tak letihlah pilihan raya tidak henti-henti," katanya pada sidang akhbar selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tumpuan selepas itu adalah tentang pembangunan negara dan negeri masing-masing.
Dalam pada itu, berhubung kedudukan kerjasama di antara Pakatan Harapan (PH) dengan parti yang membentuk gabungan Kerajaan Perpaduan ketika ini iaitu Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN akan datang, Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR percaya, ia akan diputuskan tidak lama lagi.
"Selepas ini sebelum berlangsung persidangan di Parlimen (Dewan Rakyat) akan ada mesyuarat parti-parti, di situ kita akan tahu hala tuju parti dalam PH bersama rakan-rakan yang turut sama menubuhkan kerajaan perpaduan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!