Ronaldo nafi pindah ke kelab Arab Saudi
BEKAS bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo akhirnya bersuara mengenai laporan yang mengaitkan perpindahan ke kelab Arab Saudi, Al Nassr apabila menegaskan perkara tersebut tidak benar.
Pemain berusia 37 tahun itu meninggalkan The Old Trafford bulan lalu selepas hubungannya retak dengan pengendali kelab dan bertambah buruk apabila dia membuat beberapa kenyataan kontroversi dalam wawancara televisyen dengan Piers Morgan.
Sejak itu spekulasi tersebar mengenai kelab yang akan disertai Ronaldo, dengan penyerang tersebut merupakan ejen bebas kini menuju ke separuh kedua musim perpindahan pemain bola sepak dunia.
Laporan media sebelum ini mendakwa penyerang Portugal tersebut berada diambang mengikat kontrak dua setengah tahun dengan Al Nassr yang akan menyaksikan pemenang lima kali Ballon d'Or itu bakal menerima 173 juta pound (RM925 juta) semusim.
Namun kemenangan besar Portugal 6-1 ke atas Switzerland dalam pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022, yang mana Ronaldo digugurkan memihak kepada wira hatrik Goncalo Ramos, bintang veteran itu menolak khabar angin yang mengaitkannya dengan perpindahan ke Timur Tengah.
"Tidak, itu tidak benar - tidak benar," kata Ronaldo kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.
Sementara itu, sumber yang rapat dengan Ronaldo memberitahu media bahawa 'perjanjian yang didakwa' selesai tersebut merupakan perkara karut.
Penyerang itu sebelum ini tidak membuat sebarang komen mengenai masa depannya semasa kempen Piala Dunia, namun kini dia mengesahkan tidak akan berpindah ke Arab Saudi.
Al-Nassr adalah antara kelab paling berjaya di Arab Saudi, setelah dinobatkan sebagai pemenang liga utama negara itu sembilan kali, dengan kemenangan terbaru pada 2019.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!