Ronaldo masih pemain penting buat Portugal
KAPTEN Portugal, Cristiano Ronaldo masih dianggap pemain penting dan tidak harus diketepikan oleh pasukan kebangsaan Portugal.
Bekas pertahanan Real Madrid, Michel Salgado berkata, Ronaldo ketika ini sedang bergelut dengan prestasi kerana berada di penghujung karier, namun yakin pemain itu akan membuktikan sesuatu dalam saingan Piala Dunia ini.
"Kita semua perlu menghadapi perubahan kerana ia adalah kehidupan dan sentiasa ada tekanan.
"Tetapi, dia perlu menghadapinya dan semua orang melaluinya. Pada satu ketika kita dianggap penting dalam apa yang kita lakukan, tetapi kemudian segalanya berubah.
"Anda boleh melihat bahawa pemain lain akan datang dan menunjukkan bahawa mereka boleh bermain tanpa anda dan menang. Tetapi, sangat jelas bahawa jasa Ronaldo untuk bola sepak adalah besar.
"Saya mengenalinya dengan baik dan dia tidak akan patah semangat dengan apa yang sedang dihadapi. Dia akan masih berfikir bahawa akan menjaringkan gol kemenangan Piala Dunia dan Portugal akan menjadi juara bersamanya," katanya.
Pengendali Portugal, Fernando Santos tidak menyenaraikan Ronaldo dalam kesebelasan utama ketika aksi 16 pasukan terbaik menentang Switzerland pada Rabu.
Pengganti Ronaldo iaitu pemain muda, Goncalo Ramos mencipta sensasi apabila meledak hatrik dalam kemenangan 6-1 ke atas Switzerland.
Salgado yang meninggalkan Real pada 2009 selepas ketibaan Ronaldo ke kelab itu percaya, pemenang lima kali d'Or itu perlu diberikan peranan sebaiknya dalam aksi suku akhir bertemu Maghribi.
"Santos mempunyai cara bermain tanpa Ronaldo. Tetapi, jika saya sebagai seorang pengurus, anda perlu bergantung kepada Ronaldo jika anda mahu memenangi Piala Dunia ini. Itu jelas.
"Apa yang diperlukan Ronaldo adalah sentiasa positif dan terus memberi tumpuan kepada pasukan kebangsaan. Namun, perlu diakui inilah detik perubahan yang perlu dilalui Ronaldo," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!