Kane bukan ancaman buat Perancis
PERANCIS tidak melihat penyerang utama England, Harry Kane sebagai ancaman besar buat pasukan itu dalam perhitungan di peringkat suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 Ahad ini.
Pertahanan Perancis, Ibrahima Konate berkata, Les Blues tidak akan menumpukan untuk hanya mengawal Kane selain menyifatkan ramai lagi pemain bahaya dalam skuad England.
"Kane memang seorang pemain yang bagus dan saya pernah berhadapan dengannya beberapa kali.
"Kami perlu melihat kepada keseluruhan pasukan dan bukan hanya seorang pemain. Jika, kami bermain baik kami akan dapat keputusan yang baik juga.
"Bola sepak tidak hanya dimainkan oleh seorang atau dua orang pemain sahaja. Ia menjadi tugas jurulatih memberitahu apa yang perlu kami lakukan dalam setiap perlawanan," katanya.
Pandangan Konate itu berdasarkan statistik yang menyaksikan lapan pemain England sudah menjaringkan 12 gol dalam empat perlawanan sebelum ini.
Dalam pada itu, pemain tengah Perancis, Adrien Rabiot percaya pasukannya tidak berdepan masalah sekiranya England mahu meletakkan kawalan ketat ke atas penyerang sensasi mereka, Kylian Mbappe.
Mbappe setakat ini telah meledak lima gol daripada keseluruhan sembilan gol yang dijaringkan Perancis.
"Kami tidak terlalu bergantung kepada Mbappe. Kami hanya tahu 80-90 peratus jaringan kami hasil sumbangannya dan tugas kami adalah memberikan bantuan untuk dia menjaringkan gol," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!