PM mahu ilmu pengetahuan diiringi nilai benar

Dr Mahathir - Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim
Dr Mahathir - Foto Sinar Harian Sharifudin Abdul Rahim
A
A
A
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ilmu pengetahuan akan menjadi sia-sia, malah akan memusnah, jika ia tidak diiringi dengan nilai-nilai benar.

Katanya, seseorang yang terdidik bukan saja bijak, tetapi juga mempunyai kebolehan membezakan antara yang benar dengan yang salah, serta yang baik dengan yang buruk.

Banyak contoh, kata beliau, di mana begitu banyak kemusnahan dilakukan individu yang cukup bijak.

“Mengejar ilmu mestilah menjadi usaha seumur hidup, dan yang lebih penting ia perlu diperlengkap dengan nilai dan peribadi yang benar,” kata Dr Mahathir dalam ucapan permulaan pada konvokesyen Asia School of Business (ASB) Class 2019 di sini, semalam.

Beliau bercakap tentang perlunya individu dipandu oleh kompas nilai moral yang benar dan perlunya belajar untuk menjadi insan lebih baik sambil terus mengejar ilmu.

“Jika kita benar-benar berhasrat melihat masyarakat maju dan makmur, adalah wajib bagi kita menggunakan kemahiran dan ilmu yang telah kita raih bukan setakat untuk faedah peribadi, tetapi menyumbang secara bersama kepada penambah baikan masyarakat,” kata Dr Mahathir.

Perdana menteri berkata, sebagai sebuah negara, tidak ada pelaburan yang menghasilkan dividen setinggi pelaburan dalam pendidikan, sambil menyifatkannya sebagai asas penting bagi penambah baikan negara dan alat berkesan bagi mendorong mobiliti sosial.

“Dipandu oleh hasrat ini, kita telah menghasilkan akses kukuh kepada pendidikan berkualiti sebagai misi utama pentadbiran kita - sekarang dan juga semasa saya menjadi perdana menteri sebelum ini,” kata Dr Mahathir.

Perdana menteri turut menyentuh tentang pentingnya mendorong produktiviti.
Artikel Berkaitan:


Katanya, beliau sentiasa diingatkan oleh pakar eknomi dan tokoh-tokoh perniagaan bahawa produktiviti adalah ramuan penting bagi kemajuan ekonomi.

Gaji lebih tinggi tanpa produktiviti lebih tinggi, kata beliau, tidak bererti oleh kerana ia akan hanya mengakibatkan harga barang dan perkhidmatan yang lebih tinggi.

“Satu daripada cabaran besar kepada perniagaan Malaysia hari ini ialah mengangkat produktiviti merentasi ekonomi. Taraf hidup kebangsaan kita dan kebolehan kita untuk mengubah Malaysia sepenuhnya kepada status ekonomi maju akan banyak dipengaruhi oleh kemampuan kita mengangkat kadar produktiviti kita,” kata beliau.

Pada acara semalam, Dr Mahathir menerima ijazah doktor kehormat dalam Business Management daripada presiden pengasas dan dekan ASB, Professor Charles Fine.

Sejumlah 40 orang menerima ijazah Master of Business Administration.

ASB adalah sebuah global business school diasaskan oleh Bank Negara Malaysia dan Massachusetts Institute of Technology (MIT) Sloan School of Management di Amerika Syarikat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!