Piala Dunia: Martinez terpaksa ambil ubat tahan sakit
PENYERANG Argentina, Lautaro Martinez terpaksa mengambil suntikan ubat tahan sakit untuk membolehkannya beraksi di Piala Dunia Qatar 2022 bersama pasukan kebangsaan.
Ejen pemain berkenaan, Alejandro Camacho berkata, pemain Inter Milan itu sedang bergelut dengan kecederaan buku lali yang dihadapinya sebelum ini.
"Lautaro telah mengambil suntikan tahan sakit kerana dia mengalami kesakitan yang teruk di buku lalinya.
"Dia bekerja keras untuk menghilangkan rasa sakit itu dan apabila rasa sakit itu hilang selepas diberikan suntikan, dia tanpa banyak alasan akan beraksi di atas padang.
"Martinez adalah pemain terbaik di dunia dan mentalnya sangat kuat," katanya.
Martinez masih belum menjaringkan sebarang gol dalam saingan Piala Dunia kali ini walaupun telah melakukan empat penampilan membantu La Albiceleste mara ke suku akhir.
Dia yang memulakan aksi dalam kekalahan mengejut 0-2 ketika menentang Arab Saudi dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan menyaksikan dua golnya dibatalkan akibat ofsaid.
Dia kemudiannya diletakkan di bangku simpanan ketika perlawanan terakhir kumpulan menentang Poland dan hanya masuk untuk tempoh 20 minit ketika kemenangan ke atas Australia dalam pusingan 16 pasukan terbaik.
Tonggak Manchester City, Julian Alvarez diberikan kepercayaan oleh pengendali Argentina, Lionel Scaloni untuk bermain di tempat Martinez.
"Pertandingan ini membuatkan Martinez dan Julian bertambah kuat dan serasi. Mereka berdua adalah memerlukan antara satu sama lain," kata Camacho.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!