Bekalan elektrik 122 premis terlibat judi haram dipotong
JOHOR BAHRU – Polis Johor telah melakukan pemotongan bekalan elektrik terhadap 122 premis di seluruh negeri ini dalam usaha memastikan kegiatan perjudian haram dapat dihapuskan daripada terus berleluasa.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua pemotongan terbabit dilaksanakan sejak awal tahun dan telah mendapat kelulusan daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menurutnya, tindakan itu selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Polis Johor telah melancarkan OP Bersepadu pemotongan bekalan elektrik bersama pihak TNB.
“Dalam OP Bersepadu ini, Polis Johor telah membuat permohonan bagi pemotongan elektrik terhadap 197 premis dan setakat ini sebanyak 122 premis telah diluluskan untuk pemotongan (bekalan elektrik).
“Polis Johor melalui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) juga telah melancarkan OP Bersepadu ini di peringkat daerah dan akan diketuai oleh Ketua Polis Daerah (KPD) dan kekuatan keseluruhan operasi ini melibatkan seramai 65 pegawai dan anggota PDRM selain 42 kakitangan TNB Johor,” katanya pada Khamis.
Untuk rekod, mulai Januari hingga 5 Disember 2022, Polis Johor telah melakukan 2,166 serbuan melibatkan semua jenis perjudian dan berjaya menangkap 2,802 individu selain turut merampas 1,099 telefon bimbit, tiga unit komputer, empat komputer riba dan wang tunai berjumlah RM835,299.
Sementara itu, Kamarul Zaman berkata, Polis Johor akan sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis-premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian haram bagi mengekang dan membanteras kegiatan berkenaan kembali aktif.
“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan perjudian haram mengikut undang-undang sedia ada,” jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!