Hari undi perlu dilaksana hari cuti: Pas

Tuan Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Hari Kelantanku Bersih tahun 2022 di Kota Bharu pada Khamis.
Tuan Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Hari Kelantanku Bersih tahun 2022 di Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Pas menyarankan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan hari mengundi termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dilaksanakan pada hari cuti.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu penting untuk diambil kira susulan perolehan peratusan mengundi yang rendah sebanyak 57 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Rabu.

“SPR perlu memberi perhatian dan menyemak hari pengundian yang mesti dibuat pada hari tidak bekerja bagi memudahkan pengundi misalnya Sabtu ataupun hari minggu.

“Kali ini terbalik, hari penamaan calon pada hari cuti dan hari mengundi pula pada hari bekerja pada Rabu yang sangat tidak sesuai ada pengundi bekerja di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Kelantanku Bersih Tahun 2022 di Hotel Perdana, di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, perhatian yang lebih lagi juga perlu diberikan oleh SPR kepada tempat-tempat mengundi yang memerlukan pengangkutan air seperti di DUN Tioman.

“Pengundi Pulau Tioman terpaksa menggunakan bot dan feri sedangkan pengangkutan itu tidak beroperasi pada waktu ini sebab musim laut bergelora sekali gus menjejaskan peratusan keluar mengundi.

“Peratus keluar mengundi sangat rendah ini tidak mencerminkan keadaan sebenar. Apa-apapun tahniah kepada BN di Tioman kerana berjaya mengekalkan kerusi walaupun peratusan keluar mengundi jatuh,” katanya

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut berkongsi pandangan peribadi bahawa tidak ada masalah untuk PRN di enam negeri melibatkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan diadakan secara serentak.

Artikel Berkaitan:

“Perkara ini akan dibincangkan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi.

“Secara peribadi tidak ada masalah untuk mempertimbangkan pengundian serentak kerana akan lebih memudahkan pihak SPR dan orang ramai,” katanya.

Pada Rabu, penyandang kerusi, Datuk Seri Mohd Johari Hussain daripada Barisan Nasional (BN) menang di DUN Tioman dengan majoriti tipis 573 undi selepas memperoleh 8,080 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Nor Idayu Hashim yang mendapat 7,507 undi.

Tiga lagi calon iaitu Mohd Fadzli Mohd Ramly daripada Pakatan Harapan (PH) mendapat 784 undi, Osman A Bakar (Parti Pejuang Tanah Air) 79 undi dan Sulaiman Bakar (Bebas), yang hanya memperoleh 58 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!