Dana RM600 bilion: Tengku Zafrul sahkan belum dipanggil SPRM


Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A
KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan belum dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan berhubung salah guna dana RM600 bilion.

Menerusi catatan di akaun Twitternya, Tengku Zafrul berkata, beliau akan memberi kerjasama penuh jika dihubungi oleh pihak SPRM.

"Tiada apa yang nak disorokkan. Setakat ini, SPRM belum menghubungi saya. Sekiranya dihubungi, saya akan beri kerjasama penuh,” katanya.



Beberapa media tempatan melaporkan bahawa SPRM akan memanggil bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Tengku Zafrul untuk memberi keterangan mengenai salah guna dana RM600 bilion itu.

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 itu pernah dibangkitkan oleh bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari pada 15 November lalu.

Pada 6 Disember lalu,, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.
Artikel Berkaitan:


Pada hari sama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Muhyiddin supaya tidak mencabar kerajaan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan di bawah pentadbiran Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sebelum ini.

Sehari sebelum itu, Muhyiddin pada sidang media selepas menyampaikan ceramah Grand Finale PN sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai mahu Anwar menyiasat isu berkaitan dana itu dengan betul dan mendapatkan data sebenar sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!