Kontrak peserta TKPM tidak produktif ditamatkan
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu telah melaksanakan langkah pemutihan tanah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang terdapat di negeri ini dengan menamatkan kontrak peserta tidak produktif dan diisi peserta baharu.
Exco Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, sehingga kini sebanyak 22 peratus daripada 1,200 hektar tanah TKPM masih kosong dan sedia diisi.
Menurutnya, tanah yang telah diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN) sebagai TKPM merupakan kemudahan untuk rakyat dan kerajaan berharap lebih ramai peserta khususnya golongan muda menceburi bidang pertanian.
“Kerajaan tidak mahu anak-anak muda terpinggir, oleh kerana itu dalam Bajet 2023 yang dibentangkan baru-baru ini, sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk pembangunan TKPM bagi petani muda di Telaga Papan, Setiu.
“Ia melibatkan tanah keluasan 91.78 hektar yang memberi fokus kepada tanaman kontan dan fertigasi. Kita harap lebih ramai orang muda mengambil peluang ini bagi meningkatkan ekonomi mereka,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.
Sementara itu, Dr Azman berkata, kerajaan negeri memberi galakan dan kemudahan supaya tanah rizab padang ragut dapat dimanfaatkan bagi tujuan pengeluaran makanan ternakan.
Jelas beliau, sebanyak RM240,000 diperuntukkan pada tahun ini untuk pembangunan lima padang ragut rakyat dengan harapan dapat mengalihkan fokus kepada sumber makanan hijau ruminan bertujuan mengurangkan kebergantungan penternak kepada dedak ternakan.
“Usahawan juga boleh menyewa tanah padang ragut sekiranya ingin melaksanakan ternakan dalam skala yang lebih besar.
“Pada tahun ini kita menerima sebanyak 27 permohonan dan daripada jumlah itu, 24 telah diluluskan dengan keluasan hampir 200 hektar.
“Selain itu, beberapa syarikat juga telah menyewa tanah kerajaan bagi pengeluaran rumput segar antaranya di Binjai Kertas dan Kuala Ping, Hulu Terengganu dengan keluasan hampir 150 ekar (60.70 hektar),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!