Piala Dunia: Tujuh warga asing antara 135 kaki judi diberkas

Arjunaidi
Arjunaidi
A
A
A

SHAH ALAM - Tujuh warga asing antara 135 kaki judi yang diberkas dalam Op Soga di seluruh negeri ini dipercayai terbabit dalam kegiatan pertaruhan sempena kejohanan Piala Dunia Qatar 2022.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan dijalankan sejak 19 November lalu melibatkan 119 lokasi.

"Tangkapan menerusi serbuan ini melibatkan 128 warga tempatan dan tujuh warga asing.

"Selain itu, rampasan menerusi serbuan dijalankan melibatkan 193 telefon bimbit, enam buah komputer dan wang tunai sebanyak RM264,000," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Khamis.

Katanya, siasatan mendapati modus operandi perjudian Piala Dunia ini melibatkan pergerakan secara individu.

"Siasatan mendapati mereka yang diberkas ini bergerak secara individu dengan pertaruhan dilakukan secara elektronik.

"Sebanyak 87 kertas siasatan masih disiasat dan tiga diklasifikasikan sebagai tiada tindakan selanjutnya (NFA) serta seramai 29 telah dituduh di mahkamah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihak polis akan terus membanteras aktiviti perjudian di negeri ini dan menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan.

"Sindiket perjudian ini dipercayai turut melibatkan luar negara mengikut nilai atau kadar yang dipertaruhkan.

"Usaha dijalankan dari semasa ke semasa untuk membanteras kegiatan perjudian ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!