Joanna Yu mengaku kenal rapat Jho Low
KUALA LUMPUR – Bekas Pengurus Perhubungan AmBank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa dia mengenali secara rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Saksi pendakwaan ke-41 (SP-41), Joanna Yu Ging Ping berkata demikian semasa perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Joanna, 51, berkata, Jho Low sering menjemputnya ke pangsapuri milik ahli perniagaan itu yang terletak di Jalan Kia Peng di sini.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Ahli Parlimen Pekan, Joanna Yu berkata, mereka bertemu di lokasi itu pada 2007, melibatkan projek Majestic Masterpiece iaitu sebuah syarikat pegangan pelaburan.
“Saya tidak bersendirian, biasanya di sana saya akan bertemu dengan orang lain, antaranya bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas Peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan,” katanya.
Muhammad Shafee kemudiannya menyoal saksi itu mengenai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).
Muhammad Shafee: Bila TIA diperkenalkan kepada anda?
Joanna: Pada 2009, selepas pinjaman Majestic Masterpiece diluluskan.
Muhammad Shafee: Bagaimana anda terlibat sama dalam TIA?
Joanna: Saya kendalikan jemputan untuk mesyuarat bersama pihak-pihak lain.
Muhammad Shafee: Apa yang diberitahu kepada anda, mengenai TIA?
Joanna: Ia adalah dana yang diwujudkan untuk membangunkan Terengganu, menyentuh pembangunan kanak-kanak, TIA menyasarkan untuk mengumpul RM10 bilion atau lebih.
Muhammad Shafee: Apa yang Jho Low beritahu kaitannya dengan TIA?
Joanna: Dia kata, dia adalah penasihat lembaga penasihat.
Muhammad Shafee: Awak pasti? Bukankah dia kata dia penasihat lembaga pengarah?
Joanna: Saya percaya dia berkata penasihat kepada lembaga penasihat.
TIA merupakan syarikat pelaburan strategik negara, yang kemudian ditukar nama kepada 1MDB pada 25 September 2009.
Syarikat itu dimiliki oleh Menteri Besar Terengganu Diperbadankan, dengan Sultan Terengganu yang kemudiannya menjadi Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai pemilik majoriti.
Dalam pada itu, saksi ini bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Muhammad Shafee bahawa Jho Low pernah mengaitkan nama Yang di-Pertuan Agong dan surat jaminan kerajaan ketika itu untuk mendapatkan berbilion pinjaman daripada bank untuk TIA.
Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!