Bekas calon PRU15 antara ditahan kes miliki senjata api

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Dua individu termasuk seorang bekas calon Bebas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu diberkas bagi siasatan berkaitan video penggunaan senjata api tanpa lesen yang tular di media sosial pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, laporan berkaitan video tersebut diterima pihaknya kira-kira jam 6.53 petang.

"Siasatan mendapati klip video melakukan latihan menembak tanpa kebenaran di Lapang Sasar Kelab Menembak Selangor itu dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial di dua platform media sosial miliknya iaitu TikTok dan Instagram.

"Susulan itu, dua individu terdiri daripada seorang lelaki berumur 41 tahun dan seorang wanita berumur 28 tahun diberkas dalam tangkapan kira-kira jam 10.20 malam oleh sepasukan anggota polis di kawasan Petaling Jaya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, tangkapan yang dijalankan polis turut merampas beberapa peralatan termasuk senjata dipercayai digunakan dalam video tersebut.

"Antara dirampas adalah sepucuk pistol jenis Glock 19, satu kelopak peluru jenis Glock dan 12 butir peluru hidup.

"Selain itu, turut dirampas adalah satu kad Persatuan Menembak Selangor dan sebuah telefon bimbit bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 8(A), 8(B) dan Seksyen 41 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek ditahan reman selama 4 hari untuk siasatan lanjut," katanya.

Pada Rabu, tular video di media sosial memaparkan seorang individu melakukan latihan menembak tanpa kebenaran di Lapang Sasar Kelab Menembak Selangor di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!