Fuente naik pangkat latih Sepanyol

Fuente sebelum ini merupakan jurulatih skuad B-21 Sepanyol. - Foto EPA
Fuente sebelum ini merupakan jurulatih skuad B-21 Sepanyol. - Foto EPA
A
A
A

SEPANYOL bertindak segera untuk membentuk skuad baharu ekoran kegagalan melangkah ke suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 awal minggu ini.

Bagi menjayakan usaha itu Luis de la Fuente dinamakan sebagai jurulatih baharu La Roja setelah Luis Enrique dipecat selepas dikecewakan Maghribi dalam saingan kalah mati.

Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF) mengesahkan kenaikan pangkat jurulatih Bawah 21 tahun (B-21) pasukan itu.

"RFEF memilih Luis de la Fuente sebagai jurulatih baharu Sepanyol.

"RFEF sudah membentangkan laporan kepada presiden.

"Projek baharu perlu dimulakan untuk pasukan kebangsaan Sepanyol dengan matlamat untuk meneruskan pencapaian yang dilakar sejak beberapa tahun kebelakangan ini hasil usaha yang dilaksanakan Luis Enrique dan kakitangannya," kata RFEF dalam satu kenyataan.

Sepanyol dikejutkan dengan kekalahan di tangan Maghribi menerusi penentuan penalti selepas terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa tambahan, awal pagi Selasa lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!