Terus gemakan suara melawan rasuah

Orang ramai menandatangani pada kanvas Rasuah Busters sebagai tanda sokongan tolak budaya rasuah.
Orang ramai menandatangani pada kanvas Rasuah Busters sebagai tanda sokongan tolak budaya rasuah.
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat digesa untuk terus menggemakan suara melawan rasuah dalam usaha merealisasikan matlamat #MalaysiaTanpaRasuah.

Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, tanpa keterlibatan langsung rakyat dalam inisiatif berkenaan, usaha untuk menjadikan Malaysia negara bebas rasuah tidak akan dapat dicapai.

Sehubungan itu, beliau berkata, menjadi usaha bersama dalam menjayakan agenda itu berdasarkan teras #NilaiMoralKarakterBangsa.

"Sempena Hari Antirasuah Antarabangsa 2022, saya berharap seluruh rakyat Malaysia jangan berhenti bersuara dengan lantang atau jangan berhenti gemakan suara kebencian kita terhadap sebarang bentuk rasuah dan salah guna kuasa.

"Rakyat sendiri yang kena bangkit menolak perbuatan jijik itu, bukan Rasuah Busters dan bukan juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Rakyat sendiri dan sikap itu bermula daripada diri sendiri, keluarga serta komuniti masing-masing.

'Sebagai contoh situasi semasa, katakan pengundi tidak minta duit dengan calon, calon tidak akan bagi rasuah, rasuah akan berakhir," katanya ketika ditemu bual sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Hussamuddin berharap rakyat Malaysia tidak berhenti bersuara terhadap isu rasuah dan salah guna kuasa.
Hussamuddin berharap rakyat Malaysia tidak berhenti bersuara terhadap isu rasuah dan salah guna kuasa.

Sementara itu, menyentuh mengenai kepimpinan negara pada masa kini, Hussamuddin menegaskan bahawa pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melaksanakan janji mereka dalam isu menangani rasuah dan salah guna kuasa.

"Mereka kena betul-betul ambil tindakan serius dengan menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa yang betul untuk kajian segala bentuk reformasi undang-undang atau reformasi institusi.

"Kena ada kesungguhan, bukan bercakap sahaja dan sebagai rakyat, kita akan perhatikan secara dekat sekurang-kurangnya enam bulan pertama ini semua perubahan-perubahan itu sudah mula bergerak dan dilaksanakan.

"Perlu tunjuk kesungguhan serta dasar harus difahami semua jabatan dan mesej ini harus disampaikan kepada semua peringkat," tegas beliau.

Menurutnya, pentadbiran baharu juga perlu meluluskan undang-undang berkaitan, selaras dengan iltizam kerajaan baharu.

"Dalam lima tahun ini mesti diluluskan iaitu, berhubung pemisahan kuasa dan ia perlu didokumentasikan semestinya dalam bentuk bertulis dan jadi garis panduan yang diguna pakai oleh semua pihak," katanya.

Dalam pada itu, berbicara mengenai Rasuah Busters, Hussamuddin menegaskan pasukannya akan terus berkempen dalam usaha mengajak dan menyeru kepada rakyat untuk menentang rasuah.

"Kita akan teruskan usaha mendidik masyarakat awam dan terus pergi ke akar umbi," ujarnya.

Sambutan HARA menyusuli pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2003, memilih 9 Disember sebagai Hari Antirasuah Antarabangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!