Hadiah umrah, baucar menanti peniaga bazar Ramadan

Peniaga bazar Ramadan menghadiri taklimat di Auditorium Dato' Abdul Hamid, Batang Kali, kelmarin.
Peniaga bazar Ramadan menghadiri taklimat di Auditorium Dato' Abdul Hamid, Batang Kali, kelmarin.
A
A
A

BATANG KALI - Pengendali aplikasi bayaran tanpa tunai, Boost menawarkan hadiah umrah percuma dan baucar Jakel kepada peniaga bazar Ramadan di negeri ini yang merekodkan nilai transaksi tertinggi.

Pengurus Projek Boost, Khair Izwan Khudzari berkata, terdapat 36 lokasi bazar Ramadan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah masing-masing melibatkan lebih 3,000 peniaga.

Menurutnya, setiap peniaga akan dibekalkan dengan satu kod QR Boost untuk dipamerkan di tapak niaga bagi mempermudahkan pelanggan melakukan transaksi pembayaran.

"Hadiah utama berupa pakej umrah percuma untuk dua orang (muhrim) bernilai RM14,000 manakala tempat kedua bagi dua pemenang masing-masing akan menerima baucar Jakel bernilai RM2,000.

"Tempat ketiga juga untuk dua pemenang dengan baucar Jakel bernilai RM1,000 dan pemenang berdasarkan nilai transaksi tertinggi.

"Kempen penggunaan Boost di bazar Ramadan diperkenal sejak tahun lepas dan kini diperluaskan tanpa sebarang had minimum pembayaran walaupun pelanggan membeli kuih berharga 50 sen," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis taklimat dan cabut undi tapak petak Bazar Ramadan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), di sini kelmarin.

Sementara itu, Pengarah Pelesenan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Kamaruzzaman Abd Rahman berkata, kesemua peniaga bazar Ramadan diingatkan supaya mematuhi syarat ditetapkan selain menjaga kualiti makanan dijual.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, peniaga bazar Ramadan perlu peka terhadap aspek kebersihan dan kesihatan pelanggan yang membeli juadah untuk berbuka puasa.

"Saya juga mohon supaya berniaga di petak masing-masing walaupun peniaga bersebelahan tidak meniaga.

"Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) turut menetapkan peniaga supaya meletakkan tanda harga jualan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!