Fokus perkasa TVET di Perak Tengah

Khairudin (tengah) menyampaikan hadiah kepada peserta yang menyertai perkhemahan unit beruniform kokurikulum dan program Tunas Asuhan TVET Pertanian Sekolah Rendah (Tuntas) di Kompleks Desa Warisan IGROW, Kampung Gajah.
Khairudin (tengah) menyampaikan hadiah kepada peserta yang menyertai perkhemahan unit beruniform kokurikulum dan program Tunas Asuhan TVET Pertanian Sekolah Rendah (Tuntas) di Kompleks Desa Warisan IGROW, Kampung Gajah.
A
A
A

PASIR SALAK - Pemilihan daerah Perak Tengah sebagai peneraju Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada pelan Perak Sejahtera 2030 adalah bertepatan dalam meningkatkan kecekapan modal insan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, usaha kerajaan negeri adalah membangunkan bakat berkemahiran tinggi terutamanya belia bagi memenuhi keperluan sektor pekerjaan kini.

"Perak Tengah mempunyai tiga institusi pengajian tinggi (IPT) dan lapan TVET. Pemusatan pusat pengajian ini secara tidak langsung membantu menyediakan golongan belia mempunyai kemahiran dalam teknikal mahu pun pertanian.

"Kita tunggu pengumuman menteri besar dalam Bajet 2023 nanti dan diharapkan ada berita baik berkaitan pendidikan serta TVET ini agar pelan Perak Sejahtera 2030 dapat dilaksanakan sebaik mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan perkhemahan unit beruniform ko-kurikulum dan program Tunas Asuhan TVET Pertanian Sekolah Rendah (Tuntas) Sekolah Kebangsaan Teluk Ru, Sabak Bernam, Selangor di Kompleks Desa Warisan IGROW Pulau Tiga, Kampung Gajah di sini pada Khamis.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif IGROW, Nordin Abdul Malek.

Dalam pada itu, Khairudin berkata, program Tuntas yang dilaksanakan pada program itu memberikan pendedahan awal kepada murid-murid dalam bidang TVET asas pertanian.

"Pendekatan kerjasama strategik antara IGROW dan sekolah ini mewujudkan pendekatan, kaedah dan sistem pembelajaran baru yang bersifat dinamik dan futuristik sewajarnya digalakkan dan diberi sokongan sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

"Usaha ini boleh capai keberhasilan dan kemenjadian yang lebih cepat, cekap dan berkesan. Langkah selari dengan dasar pembangunan negara pada masa depan iaitu pendidikan kemahiran TVET," katanya.

Tambah beliau, program berkenaan boleh diperluaskan bagi melengkapkan sasaran Perak sebagai Koridor TVET negara dalam tempoh lapan tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!