Siti Bainun gagal dapatkan rakaman percakapan saksi

Siti Bainun gagal dalam permohonan untuk mendapatkan rakaman percakapan 15 saksi. - Foto Bernama
Siti Bainun gagal dalam permohonan untuk mendapatkan rakaman percakapan 15 saksi. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali gagal dalam permohonan untuk mendapatkan rakaman percakapan 15 saksi yang ditawarkan pihak pendakwaan.

Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendapati rakaman percakapan itu dilindungi sepenuhnya oleh undang-undang.

Ketika membaca keputusan itu, Izralizam berkata, rakaman yang dibuat ketika siasatan bermula, telah dilindungi oleh undang-undang dan tidak boleh diterima sebagai keterangan.

“Keadaan berbeza, jika ia digunakan untuk mencabar kebolehpercayaan saksi di bawah Seksyen 155 Akta Keterangan dan Seksyen 113 (2) CPC dan beberapa pengecualian yang lain.

"Malah, saksi-saksi dalam kes ini sudah tersedia dan boleh ditemuramah oleh pihak pembelaan pada bila-bila masa, jadi tidak timbul kegagalan untuk mencapai keadilan," katanya.

Bagaimanapun, Izralizam belum memutuskan keputusan bagi satu lagi permohonan yang dibuat oleh Siti Bainun iaitu memanggil semula saksi-saksi yang ditawarkan pihak pendakwaan.

Menurutnya, mahkamah akan mempertimbangkan permohonan tersebut namun mengarahkan pasukan pembelaan supaya melengkapkan senarai nama saksi yang mahu dipanggil.

Beliau turut mengarahkan pembelaan menyatakan tujuan dan alasan permohonan tersebut dilakukan.

Artikel Berkaitan:

“Saya mempunyai tanggungjawab, kuasa dan budi bicara untuk menentukan sama ada pemanggilan semula saksi yang dinamakan itu adalah menjurus kepada unsur remeh, menyusahkan atau menghalang keadilan dicapai.

“Jadi semua pihak mempunyai masa yang cukup untuk melengkapkan senarai itu, kerana perbicaraan kes ini akan bermula tahun depan,” katanya.

Sebelum ini pembelaan membuat permohonan untuk memanggil semula tiga saksi ke mahkamah iaitu saksi pendakwaan kelima (SP-5), bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mohmood.

Dua saksi lain ialah SP-15, pakar bedah plastik Dr Salmi Mohamed Shukur dan SP-20, Pegawai Penyiasat bahagian Seksual Wanita dan Kanak-Kanak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rohaini Baharom.

Sebelum ini, Siti Bainun membuat dua permohonan iaitu mendapatkan rakaman percakapan saksi pembelaan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) dan mahu memanggil beberapa saksi di bawah Seksyen 173 j (iii) kanun sama.

Pada 24 November lalu, Siti Bainun diperintah untuk membela diri atas dua pertuduhan tersebut.

Pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom Down berusia 13 tahun telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Pada 20 November 2021, Pengasas Rumah Bonda itu didakwa sekali lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja sama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!