Kastam rampas 7.8 juta batang rokok putih dari China

Hamisan (tiga dari kiri) menunjukkan rokok putih yang dirampas di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 22 November lalu.
Hamisan (tiga dari kiri) menunjukkan rokok putih yang dirampas di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 22 November lalu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas rokok seludup dari China bernilai lebih RM630,400 dalam pemeriksaan di Pelabuhan Tanjung Barat, Pelabuhan Klang, Selangor pada 22 November lalu.

Pengarahnya, Hamisan Kalip berkata, rampasan itu dibuat oleh Cawangan Siasatan Khas dan Bahagian Penguatkuasaan serta dibantu oleh Unit Kawalan Kontena Pelabuhan Klang pada jam 1.15 petang.

Menurutnya, pemeriksaan yang dibuat pada sebuah kontena menemukan 788 kotak rokok putih yang mengandungi 7.8 juta batang rokok dengan nilai cukai berjumlah RM5.049 juta.

"Siasatan awal mendapati kontena itu dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang dan ia diimport oleh sebuah syarikat berstatus sendirian berhad di Kuala Lumpur.

"Kontena terbabit diikrarkan membawa barangan seperti tuala, filem plastik, pinggan mangkuk seramik, tisu basah dan rokok, namun hasil pemeriksaan rapi kita dapati barangan dagangan sebenar yang dibawa hanya pinggan mangkuk seramik dan tisu basah manakala rokok yang tiada permit import disorokkan di bahagian belakang kontena berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Jumaat.

Hamisan berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat, namun pihaknya telah merekodkan kenyataan dua individu daripada syarikat perkapalan dan syarikat percetakan yang namanya digunakan untuk mengimport barangan tersebut.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih lagi dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) dan Seksyen 135 (1)(g) Akta Kastam 1967 kerana cubaan mengelak dengan fraudan duti kastam dan mengelakkan larangan import.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

Hamisan (dua dari kanan) menunjukkan dapur elektrik yang dibawa masuk ke negara ini dengan membuat perakuan palsu untuk mendapat pengecualian cukai.
Hamisan (dua dari kanan) menunjukkan dapur elektrik yang dibawa masuk ke negara ini dengan membuat perakuan palsu untuk mendapat pengecualian cukai.

Katanya, siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 74 (1)(e) Akta Eksais 1976.

Sementara itu dalam kes berasingan, Hamisan berkata, pihaknya merampas 1,300 unit lengkap dapur elektrik yang disyaki tidak berkastam di Pangkalan Kontena Butterworth Utara di sini pada 21 Oktober lalu.

Jelasnya, barang dagangan yang dibawa dari China itu dianggarkan bernilai RM910,000 dan cukai RM291,200.

Beliau berkata, seorang suspek iaitu pengarah syarikat berusia 54 tahun yang berpangkalan di Seberang Perai Tengah telah ditahan untuk membantu siasatan

"Siasatan mendapati modus operandi yang digunakan adalah dengan membuat ikrar palsu. Mereka mengikrarkan dagangan dibawa sebagai 32 bahagian berbeza dapur elektrik yang belum dipasang. Item-item itu mendapat manfaat pengecualian cukai serta tidak memerlukan lesen import.

"Bagaimanapun pemeriksaan rapi mendapati dagangan itu bukan bahagian yang belum dipasang sebaliknya 1,300 unit lengkap dan ia satu cubaan melakukan perakuan palsu," katanya.

Hamisan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana membuat perakuan palsu dan Seksyen 135 (1)(a) akta yang sama kerana kesalahan mengimport barang tak berkastam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!