Tiga strategi perangi rasuah: Azam Baki

Azam
Azam
A
A
A

PUTRAJAYA - Dalam usaha membentuk masyarakat bebas rasuah, usaha mencegah perbuatan korupsi tidak boleh diletakkan di atas bahu pihak berkuasa sahaja sebaliknya ianya tanggungjawab semua pihak.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kerjasama antarabangsa juga penting dalam memerangi rasuah kerana kegiatan jenayah berkenaan tidak lagi terhad dalam sempadan sesebuah negara sahaja.

Menurutnya, dalam usaha membentuk masyarakat bebas rasuah, SPRM telah melaksanakan tiga strategi bagi membanteras gejala berkenaan secara holistik.

"Rasuah memberi impak negatif kepada setiap dimensi dalam kalangan masyarakat. Ia menyebabkan konflik dan menghalang keamanan serta pembangunan negara.

"Oleh sebab itu, di Malaysia, SPRM menggunakan pendekatan holistik menerusi tiga strategi utama iaitu, penguatkuasaan (siasatan, pendakwaan), pencegahan, dan pendidikan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Forum Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2022 yang diadakan secara hibrid dan dihadiri oleh lebih 1,500 pekerja swasta dan pegawai kerajaan di seluruh negara.

Antara syarikat yang terlibat termasuk, Top Glove Corporation, Isuzu Hicom, BASF Petronas Chemicals, FELDA Investment, UCSI Hospital serta majlis-majlis perbandaran.

Dalam ucapannya, Azam Baki menzahirkan perasaan bangga apabila Malaysia menyertai komuniti antarabangsa bersama-sama memperingati Hari Antirasuah Antarabangsa (UNCAC) dengan tema 'Menyatukan Dunia Menentang Rasuah'.

Artikel Berkaitan:

Katanya, usaha menentang gejala rasuah ini bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa tetapi semua pihak termasuk individu, organisasi dan syarikat swasta.

"Peruntukan Liabiliti Korporat telah berkuat kuasa pada Jun 2020 di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009, yang mana sesebuah organisasi komersial boleh didakwa jika mana-mana pekerja atau sekutunya melakukan rasuah untuk kepentingan organisasi.

"Prinsip peruntukan ini bukan semata-mata bersifat punitif, tetapi ia digubal bagi memastikan syarikat telah mengambil langkah yang mencukupi untuk mencegah rasuah dalam organisasi mereka," katanya.

Beliau berkata, dalam usaha membantu syarikat-syarikat berkenaan membentuk organisasi bebas rasuah, badan korporat yang menjalankan kempen antirasuah boleh memohon pengecualian cukai bagi aktiviti berkenaan.

"Badan korporat dan syarikat swasta layak memohon pemotongan cukai bagi jumlah yang telah dibelanjakan bagi mengadakan aktiviti antirasuah.

"Insentif berkenaan diberikan supaya badan sektor terbabit dapat bekerjasama dengan SPRM dalam menjalankan program antirasuah sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka," ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!