Biusan cinta Tok Mat masih berbisa
PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau telah berakhir. Sudah tersurat bukan rezeki buat anak perantauan yang juga pakar bius, Dr S Streram berdagang di Rantau apabila cubaan kali kedua menjadi wakil rakyat masyarakat di sana dinafikan dengan lebih jelas kali ini melalui kertas undi.
Kali pertama mencuba nasib semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, belum sempat masuk gelanggang beliau sudah 'tewas' mengejut lalu Datuk Seri Mohamad Hasan diisytihar menang tanpa bertanding kerusi N27 Rantau sebelum Mahkmah Persekutuan mengisytiharkan kemenangannya tidak sah dan terbatal.Keputusan rasmi PRK Rantau telah diumumkan dengan Mohamad Hasan atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat mewakili Barisan Nasional (BN) mendapat 10,397 undi, diikuti Dr Streram mewakili Pakatan Harapan (PH) sebanyak 5,887 manakala calon Bebas iaitu R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin masing-masing hanya mendapat 83 dan 79 undi.
Pujian patut diberikan kepada Dr S Streram kerana walaupun masih baharu di Rantau, beliau punyai keinginan yang tinggi untuk menabur jasa dan berbakti sebagai YB pada rakyat di DUN tersebut.
Dengan majoriti 4,510 undi diterima, boleh disimpulkan bahawa penduduk Rantau terkesan dengan biusan cinta Tok Mat, BN dan hubungan mesra bersama Pas. Menjadi wakil rakyat tiga penggal di Rantau sebelum ini pasti banyak bakti dan budinya di sana, ditambah faktor anak jati dan bekas menteri besar yang dihormati. Kemenangan Tok Mat di Rantau sudah boleh dijangka dari awal.
Kajian yang dibuat oleh Ilham Centre ke atas 396 responden menunjukkan pengundi lebih cenderung menyokong bekas menteri besar dan bekas Adun Rantau ini dengan peralihan undi daripada PH kepada BN sebanyak 24.5 peratus.
Menurut Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Azlan Zainal, calon BN ternyata unggul dan diterima oleh semua segmen pengundi termasuk pengundi India dan Cina. Apabila keputusan rasmi diumumkan di Dewan SJK (C) Bandar Seri Sendayan pada jam 8.45 malam pada Sabtu, telahan awal pemerhati politik dan hasil kajian Ilham Centre bukan omongan kosong lagi.
Kesungguhan PH untuk merampas Rantau daripada genggaman BN dapat dilihat dalam tempoh dua minggu berkempen. Ini merupakan PRK yang penting kerana Tok Mat merupakan nakhoda BN dan UMNO kini selepas Datuk Seri DR Ahmad Zahid Hamidi mengambil keputusan 'berehat' seketika.
Tumbangnya Tok Mat dibumi sendiri memberi makna yang besar kepada PH dan senario politik negara. Gagal merampas Cameron Highlands dan kemudian terlepas kerusi sendiri di Semenyih kepada BN, pastinya kemenangan di Rantau amat penting.
Atas sebab itu memasuki gear akhir berkempen, dapat dilihat figura reformasi rakyat yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta bakal Perdana Menteri Kelapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil peranan menjadi penggempur hadapan kubu kuat BN ini dibantu pimpinan utama PH dan menteri Kabinet. Segala yang terdaya sudah diberikan, tetapi rezeki masih belum berpihak nampaknya.
Pendapat penulis, persepsi kurang baik yang ditimbulkan mengenai janji menunaikan manifesto PH, tekanan kos sara hidup, hak keistimewaan Melayu dan Islam, dasar yang tidak jelas dan kompetensi menteri Kabinet yang tidak dapat ditepis dan diperjelaskan kembali dengan meyakinkan pada rakyat menatijahkan kesannya di kertas undi.
Mungkin disebabkan kelemahan ini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menegur kerajaan untuk segera memperbaiki strategi komunikasi. Malaysia Baharu tidak akan sirna, penulis meyakini kerajaan dan kepimpinan PH akan mengambil langkah penambahbaikan drastik. PRK Parlimen Sandakan menanti selepas ini.
*Mohd Zaini Othman ialah Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis) Universiti Sains Islam Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!