RISDA Bizz Challenge Medan Perkasa Usahawan
Tiga pemenang terima bantuan Program Groom Big bernilai RM50,000 dan hadiah tunai
PORT DICKSON - Bukan mudah untuk bergelar seorang usahawan yang berjaya dan mampu bertahan lama dalam bidang perniagaan.
Namun tiga usahawan di bawah bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mampu membuktikan mereka 'tidak salah alamat' menceburi bidang berkenaan.
Malah peluang Muhammad Syazwan Zulkiflee, 32; Noraini Ahmad, 36, dan Zalmiah Abd Ghafar, 39, terpilih menyertai Program RISDA Bizz Challenge 2022 yang berlangsung di Pusat Latihan RISDA di sini pada Khamis, bersama 123 peserta lain sebelum diangkat sebagai tiga pemenang pertama merupakan batu loncatan buat mereka mengembangkan perniagaan.
Lebih menarik lagi kesemua mereka layak menerima bantuan Program Groom Big bernilai RM50,000 tahun hadapan yang mana masing-masing turut menerima hadiah wang tunai berjumlah RM7, 000, RM5,000 dan RM3,000.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah RISDA (Pembangunan), Ali Sabuddin Abd Samad.
Pemenang pertama, Muhammad Syazwan dari Keningau, Sabah menyifatkan kemenangannya dalam program berkenaan sebagai paling istimewa sepanjang hampir enam tahun mengusahakan perniagaan pakaian.
Katanya, bermodalkan RM375, dia memulakan perniagaan bersama isteri dan kini mampu menggaji lebih 60 pekerja di kilangnya.
Bekas guru pendidikan agama Islam di Sabah ini awalnya menceburi bidang perniagaan untuk mencari pendapatan sampingan.
"Alhamdulillah bisnes saya semakin berkembang dan pada tahun 2014 saya nekad membuat keputusan untuk berhenti kerja bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan," katanya.
Keputusan bapa kepada empat cahaya mata itu juga didorong dengan niat untuk membantu ekonomi masyarakat di Sabah.
Menerusi syarikatnya i Malabiz, dia menanam hasrat membantu memajukan rakan usahawan lain di Sabah.
"RISDA adalah satu-satunya agensi kerajaan yang saya sertai dan banyak yang saya belajar terutama tentang pengurusan kewangan, sumber manusia, strategi dan perancangan. Usahawan perlu sertai mana-mana agensi untuk membuka minda,” katanya.
Kali pertama mencuba
Pemenang tempat kedua, Noraini yang juga usahawan piza dari Tanah Merah, Kelantan, tidak menyangka percubaan kali pertama menyertai pertandingan berkaitan perniagaan membuahkan hasil.
Ujarnya, program itu memberinya peluang untuk belajar ilmu pengurusan kewangan dan perniagaan serta menambah jaringan rakan perniagaan.
"Bagi saya penting untuk usahawan menyertai program sebegini kerana jika berniaga tanpa ilmu, ia akan mudah buat kita 'down'.
"Saya bersyukur kerana mengenali RISDA pada tahun 2019 dan mendapat bantuan kali pertama melalui Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) sebanyak RM20,000," katanya.
Bekas guru Kelas Agama dan Fardu Ain ini mulakan perniagaan dari rumah sambil dibantu oleh suami dengan mengambil tempahan dalam talian.
Katanya, selepas membuka bengkel pada tahun 2017 dia nekad berhenti kerja selepas tempahan diterima semakin bertambah.
"Bermula dengan seorang pekerja, kini kami ada 45 pekerja dan mempunyai 22 'runner' berdaftar di seluruh Kelantan.
"Saya tak sangka boleh berada pada tahap ini dan Insya-ALLAH tahun hadapan bercadang untuk membuka francais," kata pemilik syarikat Jangok Mek Aini Empire ini.
Sementara itu, Zalmiah yang mengusahakan perniagaan makanan di bawah syarikat Zalmiah Maju Enterprise berkata, wang tempat ketiga diperolehi serta bantuan RM50,000 daripada Program Groom Big akan digunakan untuk membuka kilang mini piza di Maran, Pahang tahun hadapan.
Jelasnya, ia juga peluang untuk mengembangkan perniagaan yang diceburi sejak tahun 2017 selepas membuat keputusan pulang ke kampung menjaga ibunya.
"Saya suka makan piza, tapi di kawasan Maran ini tiada kedai menjual piza. Saya mencuba nasib menjualnya dengan bermula ambil tempahan melalui Facebook.
"Tak sangka dapat sambutan dan dari empat pekerja, saya kini mempunyai 12 pekerja. Insya-ALLAH tahun hadapan saya akan buka kilang mini roti piza yang akan dipasarkan di pasar malam di seluruh Malaysia," katanya.
Pemegang Ijazah Pengurusan Industri dari Universiti Industri Selangor itu mengakui bukan mudah untuk berjaya dalam perniagaan.
Bantuan AET yang diperolehi telah melonjakkan kapasiti pengeluaran sehingga mampu berada pada tahap sekarang.
Program Bizz Challenge bermula pada tahun 2018 dan sehingga kini seramai 490 usahawan yang telah menyertai program itu.
Ia untuk mengetengahkan dan mendidik usahawan bimbingan RISDA menyediakan pelan perniagaan ke arah menentukan hala tuju perniagaan mereka.
Kursus TikTok
RISDA kini menggalakkan usahawan bimbingannya menggunakan aplikasi TikTok untuk mengembangkan perniagaan.
Ali Sabuddin berkata, platform itu menjadi trend terkini dan boleh menjadi nilai tambah kepada promosi perniagaan selain secara fizikal.
Pihaknya bercadang menyediakan kursus menggunakan platform Tik Tok kepada usahawan RISDA pada tahun hadapan.
"Sebelum ini kita bekerjasama dengan Shoppe yang menyediakan kursus perniagaan dalam talian kepada usahawan kita dan ramai yang menggunakannya untuk menjual produk mereka.
"Tapi melihat keadaan semasa dan trend berniaga melalui TikTok, RISDA merancang untuk sediakan kursus khas supaya kita tidak ketinggalan," katanya.
Beliau turut menasihati setiap usahawan agar bijak mengambil peluang menggunakan apa sahaja platform yang disediakan untuk membantu meningkatkan perniagaan masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!