OKU rentung, ibu melecur dalam kebakaran rumah panjang
BINTULU - Seorang wanita Orang Kelainan Upaya (OKU) rentung, manakala ibunya seorang warga emas melecur badan serta lengan, dalam kebakaran di Rumah Panjang Chandi di Selangau, malam semalam.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan pagi ini berkata, mangsa yang rentung dikenali sebagai Riti Jubi, 43, manakala ibunya Diah Bunyah, 80, melecur 10 peratus dalam kebakaran yang meranapkan sama sekali rumah panjang 22 buah pintu itu.
"Semasa kejadian hanya mangsa serta ibunya berada di rumah panjang kerana ada penghuni menghadiri majlis kematian di rumah jiran, dan ada juga bilik yang tidak berpenghuni," katanya sambil menambah kira-kira 300 orang mendiami rumah panjang tersebut.
Kenyataan itu menyebut, mayat mangsa ditemui di rumah pintu no 17, dalam keadaan rentung pada jam 11.05 malam semalam, dan telah diserahkan kepada polis Mukah pukul 6.30 pagi ini untuk tindakan selanjutnya.
"Bomba Tatau menerima panggilan pukul 8.25 malam semalam, namun jarak perjalanan 60 km dan tidak dapat dilalui jentera kerana melalui jalan ladang serta berbukit menyukarkan pihak bomba untuk sampai ke lokasi.
“Ketiadaan liputan telekomunikasi di lokasi, menyebabkan laporan operasi kebakaran tidak dapat dilaporkan," katanya sambil menambah kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada pukul 2.30 pagi tadi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!