PIL 1 dijangka mula tahun depan, telan belanja RM7 bilion

Kon Yeow (kanan) menerangkan mengenai jajaran PIL 1 yang akan bermula pada Julai tahun depan pada sidang media pagi tadi.
Kon Yeow (kanan) menerangkan mengenai jajaran PIL 1 yang akan bermula pada Julai tahun depan pada sidang media pagi tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah meluluskan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) untuk pembinaan Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1) yang dijangka menelan belanja RM7 bilion.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kelulusan itu dimaklumkan kepada Kerajaan Pulau Pinang menerusi surat bertarikh 10 April lalu.

Menurutnya, laporan EIA itu telah dikemaskini dan diluluskan bersama 56 syarat.

"Kita akan komited dalam memastikan pelaksanaan projek ini mematuhi semua syarat dan garis panduan JAS dengan menggunapakai prinsip CAT (cekap, amanah dan telus).

"Kerajaan negeri akan berusaha ke arah fasa kerja iaitu fasa reka bentuk terperinci dan pelantikan kontraktor menerusi proses tender terbuka.

"Kita juga akan giat berusaha untuk mendapatkan kelulusan yang berkaitan bagi projek Bayan Lepas LRT dan tambakan laut selatan Pulau Pinang (PSR)," katanya kepada media hari ini.

Kon Yeow berkata, projek tersebut dijangka bermula pada Julai 2020 dan siap pada Jun 2026.

PIL 1 merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang dijangka bernilai RM46 bilion.

Artikel Berkaitan:

Ia adalah jajaran sepanjang 19.5 kilometer (km) merangkumi seksyen jejambat sepanjang 7.6 km, empat seksyen terowong sepanjang 10.1 km dan seksyen tambakan dengan panjang keseluruhan 1.8km.

PIL 1 bermula di Persiaran Gurney sehingga ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (berdekatan kawasan perindustrian FIZ IV Bayan Lepas).

Sebanyak enam pertukaran (interchange) dicadangkan di lokasi strategik sepanjang jajaran tersebut bagi tujuan penyuraian trafik yang efisien.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!